MANCHESTER – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola terus mempersoalkan kredibiliti pengadil dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menang 2-0 ke atas Wolverhampton Wanderers kelmarin.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Etihad itu, The Citizens dinafikan sepakan penalti oleh pengadil perlawanan, Farai Hallam meskipun sudah merujuk kepada Video Bantuan Pengadil (VAR).
Situasi itu jelas menimbulkan rasa tidak puas hati Guardiola yang kemudiannya menyifatkan barisan pemainnya bukan sahaja beraksi menentang pasukan lawan, malah turut berdepan mutu pengadilan mengecewakan.
“Saya gembira kerana pemain-pemain masih menunjukkan semangat juang cukup tinggi meskipun berdepan keputusan pengadil seperti ini. Kami tetap menang biarpun terganggu dengan aksi pengadil.
“Saya tahu beliau (Hallam) mengendalikan perlawanan pertamanya dalam saingan Liga Perdana, jadi sekarang semua orang sudah tahu namanya. Ini kali pertama penalti tidak diberikan selepas pengadil merujuk VAR,” katanya.
Pada perlawanan itu, Omar Marmoush yang menggalas tugas sebagai penyerang menjaringkan satu gol buat City, manakala satu lagi gol dijaringkan pemain baharu The Citizens, Antoine Semenyo.
“Antoine (Semenyo) sudah menampilkan aksi cukup menakjubkan sejak tiba di kelab ini menerusi jaringan dilakukan. Sementara itu, Marc Guehi bermain cukup baik biarpun belum menjalani latihan secara intensif,” ujar Guardiola. – AGENSI














