KUALA SELANGOR – Kepulan asap hitam di sekitar Jalan Ijok, Kampung Sentosa di sini, berpunca daripada pembakaran sampah termasuk tong asid hidroklorik hari ini.
Perkara itu menjadi tanda tanya penduduk setempat sejak pukul 2 petang yang menyangka ia kebakaran premis di kawasan berkenaan.
Seorang penduduk mahu dikenali sebagai Hafiz, 40-an, berkata dia terkejut melihat kepulan asap tebal di kawasan berkenaan.
“Saya pada awalnya menyangka ia mungkin kebakaran melibatkan premis kerana asap dilihat berada berdekatan jalan utama. Namun, rakan memaklumkan ia akibat pembakaran sampah yang turut mengeluarkan bau seakan-akan bahan kimia,” katanya kepada Kosmo!
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 2.08 petang.
“Sepasukan 14 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bestari Jaya, Selayang dan Rawang menyertai operasi pemadaman itu. Pemeriksaan mendapati ia adalah kebakaran sampah termasuk 50 tong berisi asid hidroklorik,” katanya. – KOSMO! ONLINE














