PUCHONG – Peruncit perabot tempatan, Fella Design terus tampil dengan pembaharuan apabila memperkenalkan Koleksi Farmhouse terbaharu yang disifatkan lebih dekat dan seiring dengan cita rasa rakyat Malaysia.
Koleksi Farmhouse yang dibahagikan kepada tiga segmen utama iaitu Classic Cottage, Rustic Farmhouse dan Modern Farmhouse yang diinspirasikan daripada elemen nostalgia dan sentuhan tradisional yang digabungkan dengan gaya hidup moden.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Fella Design, Yu Kong Ching berkata, meskipun Fella Design sudah berada di pasaran selama 40 tahun, pembaharuan perlu dilakukan bagi menepis persepsi lama bahawa jenama tersebut hanya sinonim dengan rekaan klasik bermotif atau ‘bunga-bunga’.
Beliau berkata, langkah memperkenalkan konsep Farmhouse adalah antara perubahan paling ketara kerana ia dilihat lebih dekat dengan cita rasa pengguna Malaysia.
“Untuk Farmhouse moden, kita lebih tumpukan kepada pasangan muda dan keluarga baharu, manakala ‘rustic’ dan ‘classic’ pula lebih kepada pelanggan sedia ada yang masih sukakan corak dan motif.
“Bagi kami, di Fella Design inovasi produk perlu diteruskan seiring perubahan pasaran, hasil inspirasi yang dibawa pulang daripada pemerhatian trend antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Koleksi Farmhouse di Fella Design, di sini hari ini.
Selain itu, Kong Ching berkata, antara keunikan utama Fella Design adalah menawarkan pengubahsuaian sofa termasuk pilihan lebih 100 fabrik dan warna mengikut keperluan pelanggan, sekali gus menjadi nilai tambah berbanding peruncit yang hanya menjual set sedia ada.
Mengulas penggunaan teknologi, Kong Ching berkata elemen digital termasuk kecederasan buatan (AI) membantu pelanggan membuat visualisasi, antaranya membayangkan sofa pilihan diletakkan di ruang kediaman sebelum membuat keputusan pembelian.
“Dalam masa yang sama, kami menegaskan Fella Design tidak akan berkompromi dari segi kualiti dan ketahanan meskipun berdepan peningkatan kos, sebaliknya mencari alternatif bahan yang lebih kompetitif tanpa mengorbankan mutu,” ujarnya.
Sehingga kini, kumpulan Fella Design mempunyai 25 cawangan termasuk anak syarikat kumpulan di seluruh negara termasuk lima daripadanya di Lembah Klang.
Sementara itu, Penolong Pengurus Operasi Fella Group, Louis Goh, berkata pembawaan koleksi itu ke Fella Design Puchong bukan sekadar naik taraf rutin, sebaliknya melambangkan komitmen syarikat terhadap pelanggan di Puchong dan kawasan sekitarnya.
“Kami komited untuk membantu mewujudkan kediaman yang terasa hangat, malar segar dan lebih peribadi buat pemilik rumah di Malaysia.
“Kami teruja mengalu-alukan pelanggan untuk melangkah masuk ke bilik pameran Puchong dan merasai pengalaman ini sendiri,” katanya.
Para pengunjung boleh menyelusuri bilik pameran tiga tingkat di Fella Design Puchong di 30, Jalan Suria Puchong 1, Pusat Perniagaan Suria Puchong, 47110 Puchong, Selangor bagi menikmati pengalaman melihat sendiri susun atur ruang selain meninjaun perabot yang terkini. – KOSMO! ONLINE














