KUALA TERENGGANU – Pemandu kereta Honda Jazz yang sebelum ini didakwa memandu melulu sehingga meragut nyawa seorang pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencuri.
Tertuduh, Mohd. Izuddin Zakaria, 32, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.
Tertuduh yang sebelum ini mendakwa menghidap penyakit mental menyebut nombor Mykad dengan lancar dan mohon untuk dibicarakan.
Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Izuddin didakwa mencuri wang tunai berjumlah RM200, sebuah beg merah, seutas kunci kereta, beg penyimpan kad, kad kuasa tentera, dua kad mesin pengeluaran wang automatik serta lesen memandu milik seorang lelaki berusia 29 tahun.
Perbuatan itu didakwa tertuduh dilakukan di laluan tempat letak kenderaan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini pada pukul 1.15 tengah hari, 5 Januari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan kerana tertuduh diperintahkan menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai, Johor Bahru dan sebutan semula ditetapkan pada 22 Februari ini.
Kosmo! 12 Januari lalu melaporkan Mohd. Izuddin dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian Syakirah Hanan Mazli, 25. – KOSMO! ONLINE














