PETALING JAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merobohkan sebuah struktur kekal yang menjalankan perniagaan rokok elektronik atau vape tanpa kelulusan di ibu negara semalam.
DBKL dalam kenyataannya berkata, tindakan itu dilaksanakan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp)
“Struktur kekal itu telah dikosongkan oleh pemilik dan pemotongan bekalan elektrik dilaksanakan pihak TNB. Operasi berjalan lancar tanpa sebarang provokasi. Pihak DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa,” katanya hari ini.
Terdahulu, kenyataan itu memaklumkan, DBKL melaksanakan operasi bersepadu merobohkan struktur tambahan kekal penjaja tanpa kelulusan di Jalan Sembilang Taman Tenaga, Bandar Tun Razak pada 21 Januari lalu.
Tindakan bersepadu itu dilaksanakan setelah pemilik struktur gagal mematuhi Notis Penguatkuasaan dan Notis Pengosongan Tapak yang dikeluarkan pada 2 September 2025 dan 12 Januari lalu. Tindakan turut diambil kerana tiada sebarang kelulusan terhadap struktur kekal yang dibina menerusi Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974. – KOSMO! ONLINE














