fbpx
Mohamed Khaled (kiri) ketika menerima kunjungan hormat Azam (kanan) di Wisma Pertahanan, hari ini.

Mindef, SPRM sepakat perkukuh integriti, tadbir urus pertahanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sepakat memperkukuh integriti serta tadbir urus dalam institusi pertahanan negara menerusi kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, komitmen itu dizahirkan menerusi kunjungan hormat Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ke Wisma Pertahanan, sekali gus mencerminkan usaha bersama dalam meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan.

Menurut beliau, selari dengan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan integriti, Mindef menegaskan komitmen untuk memberikan kerjasama penuh kepada SPRM dalam semua siasatan berkaitan kes rasuah yang sedang dijalankan.
“Kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai ruang penambahbaikan ke atas tatacara perolehan sedia ada bagi membolehkan pelaksanaannya lebih berkesan.

“(Selain itu), bebas daripada sebarang risiko tadbir urus, khususnya amalan rasuah dan salah guna kuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Khaled berkata, SPRM turut bersetuju menawarkan khidmat nasihat bagi membantu memperkukuh dan memperbaiki tadbir urus perolehan Mindef dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Persefahaman yang berjaya dicapai melalui pertemuan ini cukup penting dalam memenuhi tekad Kementerian Pertahanan.

“(Ini bagi) membanteras rasuah dan kecurangan kuasa, seterusnya mengembalikan kepercayaan rakyat dan negara kepada ATM,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI