TIGA wakil Liga A1 Semi Pro membuktikan status bukan penghalang utama apabila berada dalam kelompok empat kedudukan teratas kelab yang merekodkan kehadiran penyokong tertinggi pada pusingan pertama saingan Piala Malaysia.
Perak, Kelantan Red Warrior FC dan UM-Damansara United masing-masing bermain di gelanggang sendiri dan semuanya merekodkan kehadiran penyokong mencecah empat angka, mengatasi empat lagi perlawanan membabitkan kelab daripada Liga Super.
Walaupun angka itu belum lagi memenuhi kapasiti sebenar venue perlawanan, ia membuktikan penyokong kelab Liga AI Semi Pro sentiasa dahagakan aksi berkualiti dan tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan pasukan mereka menentang kelab Liga Super.
Secara tidak langsung, perkembangan ini beri gambaran positif kepada pertandingan Piala Malaysia yang sentiasa memiliki tarikan tersendiri dan mampu melakar kejutan seperti dilakukan Perak yang menang 2-0 ke atas Kuala Lumpur City.
Perlawanan PDRM FC dan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) merekodkan kehadiran penyokong paling ramai dengan 7,976 orang diikuti aksi Perak menentang KL City di Stadium Majlis Perbandaran Manjung dengan 4,005.
Tempat ketiga menjadi milik aksi Kelantan Red Warrior FC yang bertemu DPMM FC di Stadium Muhammad Ke IV apabila mencatatkan kehadiran 2,449 penonton diikuti perhitungan UM-Damansara United dan Terengganu FC di Stadium UM Arena dengan catatan 1,517 penonton hadir ke stadium.














