fbpx
Antara warga asing yang diperiksa oleh anggota JPJ dalam Ops Pewa di sekitar Kuala Lumpur, hari ini.

‘Baru nak ambil tali ikat banner, terus kena tahan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – “Baru ambil barang, tak sampai lima minit sudah kena tahan.”

Demikian kata pekerja kontraktor pembersihan warga asing berusia 28 tahun selepas ditahan dalam Ops Pemandu Warga Asing (Pewa) yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur di sekitar ibu negara, hari ini.

Lelaki warga Indonesia itu memberitahgu, dia menunggang motosikal milik majikannya untuk mengambil tali mengikat banting di kawasan berhampiran sebelum ditahan.

“Saya nak ambil tali sahaja untuk ikat banner (banting). Tempat pun dekat, lima minit saja. Tak sangka kena tahan,” katanya ketika ditemui.

Lelaki itu mengaku tidak memiliki lesen memandu dan jarang menunggang motosikal.

Tambahnya, tali yang dibawa itu akan digunakan bagi kerja-kerja pemasangan banting, namun tugasan tersebut terpaksa dibatalkan selepas dia diberkas.

Wartawan Kosmo! yang turut menyertai Ops Pewa mendapati terdapat segelintir penunggang motosikal warga asing yang cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran anggota penguat kuasa. Bagaimanapun, tindakan mereka berjaya dipatahkan pihak berkuasa.

Sementara itu, Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, dalam operasi selama lima jam bermula pukul 9 pagi, sebanyak 323 buah kenderaan diperiksa dengan 52 motosikal, lima lori dan sebuah kereta dikenakan tindakan.

Selain itu, sebanyak 283 notis dikeluarkan dan antara kesalahan yang dikesan adalah tidak mempunyai lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN