PETALING JAYA – Tindakan seorang guru memberikan sepasang kasut kesayangannya kepada seorang murid yang tidak berkemampuan mengundang rasa sebak dalam kalangan pengguna media sosial.
Menerusi perkongsian di Threads oleh @i_akram, kelihatan kanak-kanak lelaki memakai selipar ke sekolah kerana tidak mampu membeli kasut sekolah.
Guru lelaki itu kemudian mengajak murid tersebut menuju ke kenderaannya sebelum memberikan kasut sendiri selain kata-kata semangat kepada kanak-kanak tersebut.
“Ini kasut saya sendiri (yang) pakai. Kalau tidak muat, kita boleh beli kasut baharu, cuma tidak dapat la jenama ni. Pakai, jaga dan belajar elok-elok. Kasut kesayangan saya ni,” katanya ketika menyerahkan kasut tersebut.
Katanya, murid tersebut kematian ibu, manakala bapanya pula bekerja sebagai pengawal keselamatan.
“Kasut kesayangan untuk anak murid. Mak sudah meninggal, ayah kerja pengawal keselamatan, adik beradik ramai. Abang dia dua orang murid saya juga, duduk rumah tok wan (datuk). Mereka tiga beradik pandai main bola, memang saya ambil main wakil sekolah,” tulisnya.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai dengan rata-rata orang ramai berasa sebak dan berterima kasih kepada guru berkenaan.
“Saya pernah melalui saat ini, saya tahu apa yang pelajar tu rasa. Ibu dan ayah tidak mampu beli sebab kami adik beradik ramai. Belajar rajin-rajin, dik. Ilmu dan adab itu yang akan tentukan kau berjaya,” komen Aien.
“Bagus budak ni. Tidak ada kasut pun masih pergi sekolah, tiada alasan tidak mahu pergi. Semoga dipermudahkan urusan anak ni,” kata Mimi.
“Sedihnya, semoga cikgu dimurahkan rezeki. Terima kasih atas jasa cikgu kepada mereka. Hati ibu-ibu ni sebak pula,” komen Aida Adida. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














