PELUMBA Moto3 negara, Muhammad Hakim Danish Ramli dijangka berlepas ke Eropah hujung bulan ini bagi melakukan persediaan awal menjelang saingan musim baharu Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP).
Dia akan berada di Sepanyol selama seminggu sebelum berangkat ke Portugal bagi menjalani sesi ujian pramusim yang dijadualkan berlangsung di Litar Algarve, Portimao pada awal Februari nanti.
Biarpun bakal mengharungi musim pertama secara sepenuh masa, namun status sebagai ‘rookie’ tidak akan menjadi halangan buat pelumba pasukan MT Helmets-MSI itu untuk mencabar pelumba-pelumba berpengalaman.
Walaupun dijangka berdepan pandangan skeptikal daripada pelumba-pelumba Eropah, namun Danish tidak berfikir seperti itu, sebaliknya menganggap semua pelumba saling menghormati antara satu sama lain.
“Pada pandangan saya, tidak ada (skeptikal) kerana saya fikir mereka tidak memandang rendah kepada saya. Oleh itu, saya rasa memang tidak ada sebarang masalah mengenai perkara tersebut.
“Dalam fikiran, saya tidak kisah pun dengan status sebagai rookie kerana apa yang paling penting adalah untuk pergi ke semua perlumbaan dan menampilkan aksi terbaik demi negara,” katanya.
Pelumba berusia 19 tahun itu dijangka tidak berdepan banyak masalah untuk menyesuaikan dengan MT Helmets-MSI memandangkan dia sudah pun berlumba sebanyak dua kali bersama pasukan itu pada penghujung musim lalu.
Justeru, Danish menjelaskan, layanan baik yang diterima daripada pasukan membuatkan dia terasa seperti satu keluarga walaupun mengakui ada sedikit gugup untuk memulakan kempen dalam saingan Moto3.
“Untuk krew dan mekanik pasukan, memang sudah kenal kerana saya jumpa mereka ketika baki dua perlumbaan tahun lalu. Kami anggap masing-masing seperti satu keluarga, jadi memang ada kelebihan,” ujarnya.
Bekas juara Asia Talent Cup (ATC) itu memiliki masa lebih kurang sebulan untuk melakukan persiapan sebelum kempen 2026 memulakan saingan pada Grand Prix (GP) Thailand di Litar Buriram bermula 27 Februari depan.














