PETALING JAYA – Penyakit jantung dalam kalangan wanita sering berlaku secara senyap dan licik, sekali gus menyebabkan ramai tidak menyedari simptom awal sebelum serangan berlaku.
Public Health Malaysia (PHM) menerusi satu hantaran di media sosial memaklumkan, serangan jantung wanita lazimnya tidak menunjukkan tanda tipikal seperti sakit dada mencengkam sebagaimana sering digambarkan dalam drama televisyen.
Menurut PHM, wanita lebih kerap mengalami simptom ‘atypical’ atau tidak tipikal yang sering disalah tafsir sebagai keletihan, angin atau masalah gastrik.
“Antara simptom yang sering dialami termasuk rasa penat luar biasa walaupun tidak melakukan aktiviti berat, sakit di bahagian rahang, leher atau belakang badan, rasa loya, pedih ulu hati serta berpeluh sejuk secara tiba-tiba,” jelasnya.
Tambahnya, situasi perjalanan jauh seperti penerbangan jarak panjang, perubahan cuaca, dehidrasi serta peningkatan aktiviti fizikal boleh menjadi pencetus kepada masalah jantung yang sedia ada tetapi tidak disedari.
PHM turut menasihatkan orang ramai khususnya kaum wanita agar tidak mengabaikan sebarang perubahan pada tubuh badan, terutamanya rasa penat yang luar biasa atau ketidakselesaan yang berpanjangan.
“Pemeriksaan kesihatan menyeluruh disarankan sebelum melakukan perjalanan jauh. Jika berasa tidak sihat, dapatkan rawatan segera dan jangan menunggu sehingga pulang ke tanah air,” katanya.
PHM turut mengingatkan bahawa kesedaran awal dan tindakan pantas mampu menyelamatkan nyawa kerana penyakit jantung tidak semestinya memberi amaran yang jelas.- KOSMO! ONLINE














