UMNO dan Barisan Nasional (BN) dilihat mungkin berdepan laluan lebih kritikal dan mencabar jika parti terbesar orang Melayu itu memilih untuk bergerak solo dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kelak.
Jika diimbas pada PRU15 lalu, UMNO dan BN gagal menjadi parti dominan selepas hanya memenangi 30 daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen, seterusnya memilih bergabung bersama Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk Kerajaan Perpaduan.
Selain itu, bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga menyifatkan sokongan orang Melayu terhadap parti itu hanya sekitar 28 peratus sahaja, sekali gus menterjemahkan sokongan semasa yang kurang berpihak kepada UMNO.
Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub, UMNO dan BN mungkin berdepan laluan kritikal jika bergerak solo, seterusnya memerlukan rakan gabungan untuk menawan semula hati pengundi.
“Untuk bergerak solo itu berisiko dan bahaya kepada UMNO dan BN, seperti kata Ismail Sabri, sokongan orang Melayu hanya sekitar 28 peratus sahaja.
“Maka ia sukar buat UMNO untuk bergerak solo, namun keadaan itu tetap bergantung kepada dinamika semasa politik negara menjelang PRU16.
“Namun setakat ini, lebih baik UMNO dan BN bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan bagi memastikan jumlah kerusi yang dimiliki dapat ditingkatkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Mohammad Tawfik berkata, dalam keadaan politik orang Melayu yang kurang menentu, pengekalan kerjasama bersama Kerajaan Perpaduan dilihat sebagai langkah terbaik berikutan UMNO masih dalam fasa pemulihan.
Pada masa sama, pada PRU16 kelak, UMNO dan BN juga perlu melaksanakan electoral pact (perjanjian kerjasama pilihan raya) bagi mengelakkan pertembungan kerusi bersama rakan gabungan.
“Dalam konsep ini, ada sesetengah kawasan UMNO-BN bertanding dan PH tidak masuk. Jadi, ia hanya ada pertembungan satu lawan satu seperti dengan Perikatan Nasional (PN) sahaja.
“Keadaan itu lebih selamat jika dibandingkan jika ada tiga penjuru di satu-satu kawasan seperti UMNO-BN lawan PH dan PN,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya apa harus dilakukan UMNO untuk kembali menjadi parti dominan, Mohammad Tawfik berkata, parti itu perlu melakukan persempadan semula sebelum PRU16.
“Berdasarkan kajian terbaru saya, jika kawasan bandar dipecahkan bilangan kerusi lebih daripada jumlah yang ada sekarang, Kerajaan Perpaduan boleh mendapat 59 kerusi baru yang sebelum ini dimenangi oleh PH.
“Kemudian bagi sekurang-kurangnya 20 kerusi pada UMNO-BN pada PRU16 untuk mewujudkan keseimbangan seterusnya memulihkan kedudukan parti itu dalam landskap politik negara,” katanya.
Sebelum ini, pada Perhimpunan Agung UMNO 2026 yang melabuhkan tirai Sabtu lalu, UMNO dan BN memberi isyarat untuk bergerak solo pada PRU16.
Namun, parti itu juga perlu menerima dinamika politik semasa yang menuntut UMNO menjalin persefahaman dengan parti yang kini berada di luar BN.














