KUALA LUMPUR – Presiden UMNO menegur Ketua Pemuda parti itu, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, agar lebih berhati-hati dalam perjuangan walaupun diberi kebebasan untuk bersuara dan bergerak sebagai sayap hadapan parti.
Dengan nada berseloroh namun berunsur peringatan, beliau mengibaratkan Ketua Pemuda UMNO sebagai seorang anak yang baik tetapi kadangkala ‘nakal’ dalam memperjuangkan isu-isu rakyat.
“Akmal ini anak yang baik, cuma sekali-sekala nakal. Bila anak bergaduh, ayah tidak semestinya marah atau hukum. Anak nakal tetap anak yang disayang,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO di sini.
Menurutnya, kebebasan yang diberikan kepada Pemuda UMNO adalah tanda kepercayaan dan kasih sayang kepimpinan terhadap sayap parti itu, bukannya kelonggaran tanpa batas.
“Sebab itu bila Akmal bercakap lantang, saya tak panggil suruh berhenti. Bila Pemuda nak buat konvensyen, saya izinkan. Kalau anak nakal, Presiden sayang satu kali, Presiden akan sayang dua kali,” ujarnya.
Namun, dalam masa sama beliau mengingatkan Ketua Pemuda UMNO agar tidak mengulangi kesilapan generasi terdahulu yang akhirnya merugikan parti.
“Akmal, ayahanda pun pernah nak jadi Ketua Pemuda UMNO. Ayahanda masuk ICU. Jangan terpijak kulit pisang yang sama,” katanya, disambut gelak ketawa dan tepukan perwakilan.
Presiden UMNO itu turut menegaskan bahawa Pemuda memainkan peranan penting sebagai suara akar umbi dan barisan hadapan parti, namun perlu terus berpijak di bumi realiti serta bergerak dalam kerangka kepentingan parti.
Beliau berkata, UMNO sentiasa memberi peluang kepada golongan muda dalam pilihan raya, termasuk pencalonan Ketua Pemuda sendiri di beberapa kawasan strategik sebelum ini. – KOSMO! ONLINE.














