fbpx
Sebahagian perwakilan Puteri UMNO mengibarkan bendera UMNO ketika menyanyikan lagu rasmi UMNO dalam Majlis Perasmian Sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena PAU 2025 di WTCKL. Foto MUHAMAD IQBAL ROSLI/KOSMO!

Puteri UMNO desak ruang adil wanita dalam kepimpinan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia menegaskan tuntutan 30 peratus keterwakilan wanita dan anak muda dalam kepimpinan parti bukan bersifat eksklusif, sebaliknya sebagai sebahagian daripada keseluruhan struktur arus perdana UMNO.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, tuntutan itu bukan bermaksud Puteri atau wanita mahu menguasai kepimpinan, sebaliknya menuntut ruang yang adil supaya suara wanita tidak terus terpinggir.

“30 peratus yang kami maksudkan bukan Puteri 30 peratus, bukan wanita 30 peratus. Ia adalah 30 peratus secara keseluruhan. Ambillah 70 peratus, Puteri hanya minta 30 peratus,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025, di sini hari ini.

Menurut beliau, isu wanita tidak boleh terus dipinggirkan atau diwakili secara tidak langsung kerana terdapat keperluan khusus yang hanya boleh difahami dan disuarakan oleh wanita sendiri.

“Siapa yang akan bercakap soal wanita di Parlimen dan DUN? Takkan isu penyakit wanita mahu disuarakan oleh lelaki? Sebab itu Puteri mahu wanita tidak rasa tiada pembela,” ujarnya.

Dalam ucapannya, Nurul Amal turut membangkitkan isu kesihatan mental dalam kalangan anak muda, yang menurut statistik menunjukkan empat daripada 10 belia mengalami masalah kesihatan mental dalam pelbagai tahap.

Katanya, perkembangan dunia digital dan tekanan sosial masa kini menjadikan isu itu semakin kritikal dan perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan.

Selain itu, beliau turut menggesa kerajaan memperluaskan semula program vaksinasi dan pendidikan HPV bagi wanita, yang disifatkan sebagai langkah penting dalam pencegahan penyakit dan perlindungan kesihatan wanita.

“Kalau kerajaan tidak buat, siapa lagi? Kita berada dalam pentadbiran dan kita ada kuasa untuk melaksanakan,” tegasnya.

Menyentuh soal parti, Nurul Amal menegaskan penyatuan bangsa dan kelangsungan UMNO menjadi teras perjuangan Puteri, selari dengan tema ucapan dasar tahun ini, Survival UMNO: Perjuangan Kita.

“Jika kita bawa naratif penyatuan, maka pendekatan politik juga mesti mencerminkan semangat itu, bukan sebaliknya,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN