fbpx
Ismail Sabri ketika hadir pada PAU2025 di WTC hari ini.

Sokongan Melayu hanya 28 peratus, UMNO tidak boleh terus bernostalgia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – UMNO perlu bangkit dengan meninggalkan nostalgia kegemilangan masa lalu dan berani menerima realiti semasa bahawa sokongan orang Melayu terhadap parti itu kini berada pada tahap rendah, sekitar 28 peratus sahaja.

Ahli Parlimen Bera dan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hakikat tersebut perlu diakui secara jujur bagi membolehkan UMNO melakukan pembaharuan serta merangka hala tuju baharu yang lebih realistik dan berkesan.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, suasana Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini memperlihatkan semangat juang yang masih tinggi dalam kalangan perwakilan dari seluruh negara, namun semangat itu perlu diterjemahkan kepada tindakan yang lebih menyeluruh.

“Saya menyambut baik ucapan Presiden UMNO, khususnya penekanan terhadap penyatuan dan bukan pemisahan sebagai asas untuk memperkukuhkan kembali parti,” katanya.

Ismail Sabri berkata, dalam keadaan politik semasa yang mencabar, penyatuan ummah Melayu amat penting bagi memastikan kedudukan agama dan bangsa tidak terancam.

Beliau turut melihat gagasan Pintu Rumah Bangsa yang diperkenalkan oleh Presiden UMNO sebagai satu pendekatan yang berpotensi merapatkan jurang perbezaan serta menyatukan kembali kekuatan politik Melayu, termasuk membawa masuk semula mereka yang kini berada di luar UMNO.

Bagaimanapun, katanya, gagasan tersebut hanya akan berjaya sekiranya semua pihak benar-benar ikhlas dan jujur dalam melaksanakannya.

“Agenda besar seperti ini tidak boleh bersifat retorik semata-mata. Ia menuntut keikhlasan dan kesediaan untuk meletakkan kepentingan agama, bangsa dan tanah air mengatasi kepentingan peribadi,” ujarnya.

PAU 2025 dirasmikan pagi ini dengan kehadiran ribuan perwakilan yang memenuhi Dewan Merdeka, sekali gus mencerminkan usaha UMNO untuk mencari titik kebangkitan dalam landskap politik semasa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN