SEBAIK memasuki tahun baharu, dua jurulatih pasukan gergasi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu Ruben Amorin di Manchester United (MU) dan Enzo Maresca, Chelsea telah menerima nasib malang.
Ketua Jurulatih Manchester United, Amorim telah dipecat oleh kelab selepas mengkritik pengurusan tertinggi pasukan berkenaan secara terbuka.
Pemecatan itu menyusul selepas Amorim membuat kenyataan kontroversi dengan menuntut gelarannya ditukar daripada ‘ketua jurulatih’ kepada ‘pengurus’.
Hakikatnya, ramai tidak tahu bahawa jawatan pengurus dan jurulatih dalam sesebuah kelab bola sepak adalah berbeza. Ketika ini, hanya tiga pasukan dalam EPL yang mempunyai pengurus pasukan, manakalah selebihnya menggunakan khidmat ketua jurulatih.
Pasukan yang mempunyai pengurus adalah Manchester City, Pep Guardiola; Arsenal (Mikel Arteta) dan Aston Villa (Unai Emry).
Untuk makluman, ketua jurulatih hanya memberi tumpuan kepada bahagian teknikal dan taktikal permainan, selain memastikan pemain beraksi dengan baik di atas padang.
Manakala seorang pengurus mempunyai pelbagai autoriti di dalam dan di luar padang seperti urusan perpindahan pemain, akademi serta pasukan perubatan.
Disebabkan itu, Amorin tidak boleh meminta akademi MU bermain dengan formasi 3-4-3 seperti dipraktikkannya dalam pasukan utama.
Selain itu, Amorim juga tidak mempunyai kuasa untuk menandatangani pemain yang diinginkan dan bersesuaian dengan taktiknya.
Berbeza pula dengan Manchester City dan Arsenal, kedua-dua kelab berkenaan hanya menandatangani pemain yang diminta oleh pengurus.
Bahkah, pengurus boleh memberi beberapa cadangan nama pemain kepada pihak pengurusan untuk didapatkan setiap kali jendela perpindahan dibuka. Nasib seperti Amorim turut dilalui oleh Ketua Jurulatih
Chelsea, Maresca sehingga menyebabkannya meletakkan jawatan.
Menurut laporan media, Meresca telah bertegang urat dengan pihak pengurusan tertinggi kelab selepas menuntut lebih kawalan dalam pasukan berpengkalan di London itu.
Bagaimanapun, pihak pengurusan Chelsea tidak mahu Maresca diangkat sebagai pengurus dan mempunyai kawalan lebih besar terhadap pasukan berkenaan.
Persoalannya ketika ini, jurulatih atau pengurus lebih baik? Selepas kajian dibuat, penulis mendapati kedua-dua jawatan itu ada baik dan buruknya.
Segalanya bergantung kepada pasukan, sekiranya mereka ingin melantik ketua jurulatih, beberapa terma perlu dimasukkan termasuk keterlibatan dalam urusan perpindahan pemain.
Andai mahu melantik pengurus pula, kelab perlu pastikan individu yang dilantik bertahan lama dalam pasukan seperti Guardiola dan Arteta supaya pemain dibeli dapat dimanfaatkan sepenuhnya.














