fbpx
BERGSON (kanan) meraikan jaringannya menentang Kucing City di Stadium Sultan Ibrahim kelmarin. - RAJA JAAFAR ALI

JDT ‘menderita’ sebelum bangkit menang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz memuji kebangkitan luar biasa pada babak kedua yang disifatkan sebagai titik perubahan selepas ketinggalan 0-1 kepada Kuching City FC sebelum menang 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim kelmarin.

“Reaksi pantas serta peningkatan ketara dari segi fizikal dan mental sebaik separuh masa kedua bermula menjadi kunci apabila kami tampil lebih agresif, berani menekan lawan dan tidak goyah.

“Kadang-kadang dalam liga, kita perlu melalui fasa menderita. saya bangga dengan reaksi pemain, mereka kekal tenang walaupun berdepan keputusan pengadil dan beberapa kesilapan kecil,” katanya.

Xisco mengakui masih banyak aspek perlu diperbaiki, terutama dalam situasi kritikal termasuk ketajaman penyudah apabila peluang keemasan terhidang di depan gawang lawan.

“Apabila mendapat peluang jelas, kami perlu lebih klinikal. Ini satu perkara penting yang mesti diperbaiki kerana ia boleh menentukan keputusan perlawanan,” ujarnya.

Xisco turut memuji komitmen tidak berbelah bahagi pemainnya yang terus bekerja keras sehingga wisel penamat sekali gus menampilkan mentaliti juara yang menjadi identiti pasukan itu.

Perubahan pemain pada separuh masa kedua jelas memberi impak besar, dengan jurulatih dari Sepanyol itu menegaskan kekuatan sebenar JDT terletak pada kedalaman skuad yang dimilikinya.

Mengulas perancangan taktikal, Xisco menjelaskan pasukannya cuba memenangi pertarungan satu lawan satu di kawasan kritikal bagi membuka ruang dalam kotak penalti, selain mengekalkan kawalan tengah untuk mempercepatkan proses mendapatkan semula bola.

Menjelang perlawanan seterusnya dalam kejohanan berbeza, beliau memberi bayangan kemungkinan beberapa pemain baharu akan diberi peluang untuk beraksi.

“Kami fokus kepada penambahbaikan berterusan. Yang penting, kekalkan sikap positif, terus berkembang setiap hari dan tampil konsisten di hadapan penyokong,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI