KUALA LUMPUR – Puteri UMNO menegaskan kerjasama atau gabungan dengan parti lain bukan ‘lesen’ untuk menggadaikan prinsip, menghilangkan identiti, atau berdiam diri.
Malah kata ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd. Fauzi, walaupun parti itu telah bekerjasama dengan parti lain, suara UMNO juga perlu didengar.
Jelasnya, UMNO tidak boleh masuk ke mana-mana kerjasama politik tanpa arah yang jelas, tanpa pendirian yang tegas dan tanpa strategi yang tuntas.
“Gabungan boleh berlaku. Tetapi maruah, prinsip dan hala tuju UMNO tidak boleh dikompromi sama sekali.
“Kerjasama bukan lesen untuk menggadaikan prinsip, menghilangkan identiti, atau berdiam diri bila suara perlu didengar. Bukan kerana terpaksa atau demi kelangsungan sementara.
“Yang penting adalah survival UMNO! Bila kita stabil dan mapan, rakyat juga yakin kita boleh ke depan!,” katanya ketika berucap pada Persidangan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) hari ini.
Mengulas lanjut, Nurul Amal berkata, sebarang keputusan politik perlu dibuat berasaskan kajian menyeluruh, bukan emosi atau kehendak pihak tertentu.
Ini kerana katanya, UMNO ditubuhkan bukan semata-mata kerana kuasa, tetapi untuk memikul amanahbesar menjaga maruah Melayu dan kestabilan negara.
“Asas perjuangan ini berpaksikan satu perkara yang tidak boleh tergugat, iaitu kepercayaan rakyat. Tanpa kepercayaan, UMNO kehilangan kewibawaan untuk berdiri sebagai entiti yang mempertahankan kepentingan Melayu.
“Melayu dan UMNO, bagai dakwat dan kertas. Satu simbiosis yang akrab dan jelas. Menjaga rakyat, adalah menjaga amanat,” katanya.
Justeru, beliau menyeru seluruh kepimpinan untuk memastikan roh perjuangan itu terus hidup melalui kejujuran kepimpinan, keikhlasan membetulkan kesilapan, dan kesungguhan memulihkan keyakinan rakyat. – KOSMO! ONLINE














