JAKARTA – Penduduk dua daerah di Cianjur, wilayah Jawa Barat gempar apabila mendengar bunyi misteri dentuman kuat dari langit, menyebabkan ada dalam kalangan mereka bertempiaran lari keluar dari rumah, lapor laman berita Berita Cianjur.
Kejadian pertama berlaku pada 5 Januari lalu di daerah Pacet dan Cipanas.
Dalam kejadian pada pukul 10 malam (waktu tempatan) itu, bunyi dentuman kuat didengari orang ramai dan diikuti dengan cahaya berwarna merah muncul di langit.
Kejadian kedua berlaku pada 8 Januari lalu di Gunung Kasur, Pacet sekitar pukul 6.44 petang (waktu tempatan).
Seorang penduduk, Fahmi Saiful berkata, dia mendengar bunyi dentuman sebanyak empat kali hingga membuatkan orang ramai panik.
Fahmi berkata, dia menyangkakan ia adalah bunyi tembakan di kawasan tersebut.
“Ramai orang panik, namun saya ingin tahu apakah punca bunyi misteri itu. Apatah lagi sudah dua kali ia berlaku,” kata Fahmi.
Sementara itu, Setiausaha Agensi Pengurusan Bencana Wilayah Cianjur (BPBD), Asep Sudrajat berkata, pejabatnya kini sedang bekerjasama dengan beberapa pihak berkaitan, termasuk Ahli Geosains Utama dari Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Bencana Geologi (PVMBG), untuk menyiasat fenomena tersebut.
“Kami masih menyiasat puncanya. BPBD sendiri tidak mempunyai peralatan untuk mengesan bunyi tersebut, jadi kami mesti bekerjasama dengan PVMBG untuk menyiasat kejadian ini,” jelasnya. – AGENSI














