KUALA LUMPUR – Seramai sembilan individu cedera dalam kejadian letupan di kawasan penyelenggaraan pendingin hawa di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, mangsa yang terlibat dalam kejadian pukul 11.40 pagi itu terdiri daripada pelajar, kakitangan pengurusan, pekerja kontraktor dan penjaga kafeteria di universiti tersebut.
“Empat daripada mereka adalah pelajar, dua pekerja kontraktor yang melakukan kerja-kerja penyelenggaraan, seorang kakitangan pengurusan dan dua warga asing yang bekerja di kafeteria. Ada mangsa yang parah, manakala selebihnya cedera ringan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Fadil berkata, semua mangsa dikejarkan ke beberapa hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, kejadian berlaku di kawasan penyelenggaraan pendingin hawa di tingkat empat berhampiran kafeteria yang ketika itu belum dipenuhi ramai pelajar kerana sesi pembelajaran belum bermula.
“Siasatan awal mendapati kejadian melibatkan dua individu teknikal yang berada di lokasi bagi menjalankan kerja pembaikan dan penyelenggaraan. Akibatnya, ada mangsa melecur dan terkena serpihan, termasuk runtuhan dinding konkrit di lokasi tersebut,” katanya.
Beliau menegaskan, punca sebenar letupan masih dalam siasatan dan setakat ini, tiada unsur jenayah dikenal pasti.
“Pasukan bomba dan penyelamat menjalankan pemeriksaan dan mengesahkan kawasan tersebut selamat. Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya. – KOSMO! ONLINE














