fbpx
Selain orang kenamaan, Rayme akan sentiasa berada di eskspo jualan untuk mendapat maklum balas dan beramah mesra dengan pengunjung.

Rekod Raydiates cemerlang dalam penganjuran acara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sepanjang tahun lalu, industri MICE (me­syuarat, insentif, konvensyen dan pameran) di seluruh negara begitu menggalakan apatah lagi pada musim perayaan, ekspo jualan mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

Ekosistem industri itu memberi manfaat kepada semua termasuk peniaga, vendor, pembekal, pemborong dan juga syarikat penganjuran untuk mendapat keuntungan berlipat ganda malah disukai oleh pengunjung kerana mereka boleh membeli pada harga barangan yang lebih murah serta munasabah.

Tidak hairanlah bagi mana-mana ekspo jualan khususnya pada musim perayaan, ramai pengusaha menggunakan pe­luang tersebut untuk merekodkan jualan termasuk juga kepada syarikat penganjuran majlis.

Salah sebuahnya adalah Raydiates Blue Sdn. Bhd. (Raydiates) yang kini semakin mendapat tempat dalam segmen tersebut, malah memperoleh keyakinan yang baik daripada pelanggan korporat, swasta dan agensi kerajaan untuk menganjurkan ekspo-ekspo jualan.

Pengasas syarikat, Rayme Zainal, 47, sebelum ini lebih menjurus kepada pelbagai portfolio karier seperti perhotelan dan seni, perunding acara bebas lantas menjadikan bidang perniagaan sebagai penganjur acara sebagai bisnes terasnya sejak tahun 2023.

Buktinya tahun lalu, Raydiates yang mengendalikan Bazar Aidilfitri Anjung Syawal iaitu sebahagian daripada Festival Ramadan Putrajaya (FRP) 2025 telah mendapat sambutan luar biasa daripada pengunjung.

Bazar terbesar di Lembah Klang itu berjaya mencetuskan fenomena tersendiri dengan menawarkan pelbagai pilihan produk pada harga yang berpatutan, sekali gus menarik lebih satu juta pengunjung sepanjang 32 hari ia beroperasi.

Kejayaan itu turut dirasai oleh peniaga apabila beberapa gerai dilaporkan mencatatkan jualan sehingga RM100,000, menjadikan Anjung Syawal sebagai destinasi utama bagi persiapan sambutan Aidilfitri di Malaysia.

Malah tahun lalu, Raydiates juga sibuk menganjurkan beberapa acara besar lain seperti Anjung MalaysiaKu Foodie Fiesta 2025 yang menyediakan hampir 300 lot niaga sempena sambutan Hari Malaysia dan Hari Usahawan Negara (HUN) 2025 selama lima hari di perkarangan parkir Stadium Nasional Bukit Jalil.

Lebih membanggakan, beliau turut berjaya menganjurkan Fun Run dengan penyertaan peserta hampir 1,000 orang apabila be­kerjasama bersama Anytime Fitness Hampshire dan SimplySiti sebagai Rakan Strategik dengan kemunculan istimewa Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Selain itu, Raydiates juga menganjurkan karnival Anjung E.A.T.S sempena program Festival of Ideas (FOI) Putrajaya 2025 pada Oktober lalu selama lima hari yang berjaya menarik keha­diran 10,000 pengunjung.

Syarikat milik bumiputera itu juga pernah bekerjasama dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk memperkasa usahawan mikro dengan menganjurkan Karnival BSN Mikro Madani Zon Pantai Timur di Pasar Payang, Terengganu.

Bagi pembuka tirai 2026, Rayme kini sudah bersedia menganjurkan Gema Raya Putrajaya 2026@PICC yang bakal melakar sejarah sebagai festival raya terbesar pertama apabila di­anjurkan di puncak ter­tinggi Putrajaya bermula 15 Februari ini selama 33 hari.

Katanya, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dipilih sebagai lokasi kerana bangunan ikonik itu memiliki kemudahan berteknologi tinggi serta fasiliti ber­taraf antarabangsa yang sesuai untuk pengajuran acara berskala besar.

Menurut beliau, Raydiates kini mahu melangkah lebih jauh apabila menyasarkan penganjuran acara bertaraf antarabangsa pada skala besar bermula tahun ini dalam usaha merancakkan lagi industri pelancongan di negara ini.

Beliau berkata, langkah itu bertujuan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa melalui penganjuran festival seni dan budaya pada tahun ini dengan sokongan daripada agensi kerajaan dan dengan kerjasama sektor korporat.

Gema Raya Putrajaya 2026 adalah festival Ramadan–Raya selama 33 hari yang akan berlangsung dari 15 Februari hingga 19 Mac 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), dianjur sepenuhnya oleh Raydiates Blue dengan rakan kerjasama PULSE Group serta sokongan dari Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Festival ini menggabungkan keusahawanan, seni budaya, program kerohanian dan inisiatif kebajikan komuniti, dengan penyertaan hampir 300 vendor dan jangkaan kehadiran sehingga 800,000 pengunjung.

Ia sekali gus mengangkat ­Putrajaya sebagai destinasi utama Ramadan dan Raya sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 di Putrajaya.

Walaupun industri penganjuran acara sangat berdaya saing, Raydiates merancang untuk memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju penganjuran festival dan platform ekonomi kreatif rakyat dengan melaksa­nakan rangkaian acara berskala nasional dan antarabangsa bermula 2026 dan seterusnya, me­rangkumi festival Ramadan dan Raya, karnival makanan rakyat, seni budaya, gaya hidup sihat serta inisiatif keusahawanan dan kebajikan komuniti.

Sejajar dengan agenda Tahun Melawat Malaysia 2026, Raydiates berharap dapat memperluaskan kerjasama strategiknya bersama kementerian, agensi kerajaan, sektor korporat dan komuniti kreatif bagi menjadikan acara-acara anjuran syarikat sebagai pe­mangkin pertumbuhan ekonomi tempatan, pemerkasaan usahawan mikro dan PKS, serta platform pembangunan bakat belia dan kandungan kreatif berimpak tinggi di Malaysia dan peringkat antarabangsa. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI