ALOR SETAR – Impian seorang kanak-kanak yang menghidap kanser limfoma tahap empat untuk memiliki kasut bola idamannya tercapai apabila sebuah syarikat pakaian sukan terkemuka tampil menghulurkan sumbangan.
Muhammad Qhosiff Basyar Abdul Haziq, 12, menerima kasut bola daripada Puma Malaysia yang dihantar ke Hospital Pulau Pinang ketika dia menjalani rawatan.
Ibunya, Shanaz Fazira Saidin, 32, berkata, anaknya sangat teruja dan gembira dengan pemberian kasut bola itu sehingga menitiskan air mata ketika menerimanya.
“Sampai tidur pun dia peluk kasut itu. Saya sangat berterima kasih kepada syarikat yang menghantar kasut ini kepadanya,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurutnya, ketika ini Muhammad Qhosiff inginkan kembali sihat seperti biasa bagi membolehkan dia bermain bola sepak dan menyarung kasut sukan tersebut.
“Tetapi tahap kesihatannya merosot sejak kebelakangan ini sehingga terpaksa menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah dan Hospital Pulau Pinang untuk menjalani kimoterapi sejak 15 Disember lalu,” ujarnya.
Ketua Pasukan Pemasaran Puma Malaysia, Sarah Tam berata, kisah ketabahan Muhammad Qhosiff berjuang melawan kanser dan kecintaannya terhadap bola sepak benar-benar menyentuh hati syarikat itu.
“Semangatnya memberi inspirasi dan mengingatkan kami tentang erti sebenar sukan iaitu keberanian, harapan dan tidak pernah berputus asa,” katanya.
Kosmo! pada 4 Disember tahun lalu menyiarkan kisah sedih seorang pesakit kanser yang menyuarakan keinginannya untuk memiliki sepasang kasut sukan sebagai pemberi semangat untuk pulih.
Muhammad Qhosiff tidak pernah memiliki kasut sukan walaupun gemar bermain bola sepak bersama rakan-rakan ketika masih sihat.















