Saudara pengarang,
Setiap kali tiba hujung tahun, ramai yang mengambil kesempatan untuk bercuti dengan membawa ahli keluarga termasuk anak-anak makan angin tidak kira sama ada di dalam atau luar negara.
Terdapat banyak tempat menarik di dalam negara kita untuk dilawati, cuma kita perlu berlapang dada menempuh kesesakan atas jalan.
Saya juga tidak terkecuali meluangkan cuti pada hujung tahun dengan membawa ahli keluarga termasuk anak-anak kecil dan ibu bapa ke sebuah pusat peranginan terkemuka baru-baru ini.
Percutian selama tiga hari dua malam begitu mengujakan lebih-lebih lagi cuaca juga baik. Saya berasa bangga kerana ramai pelancong termasuk orang asing memilih Malaysia sebagai destinasi pelancongan mereka sekali gus merancakkan sektor ekonomi negara.
Namun, apa yang mengecewakan adalah kemudahan lif di tempat penginapan. Saya bersama ahli keluarga terpaksa menunggu lebih 40 minit untuk turun ke lobi.
Mungkin bagi sesetengah individu, keadaan ini boleh diterima, tetapi bagaimana pula dengan warga emas yang uzur dan mereka yang membawa anak kecil yang merengek, menangis gara-gara terpaksa menunggu lama dan bersesak depan pintu lif.
Ada ahli keluarga saya yang terpaksa turun menggunakan tangga dari tingkat 40. Saya memberi teguran ini bukan untuk menjatuhkan reputasi, tetapi agar penambahbaikan dapat dilakukan demi kebaikan bersama.
Saya berterima kepada pihak premis kerana bertindak meletakkan kakitangan untuk mengawal lif walaupun sudah lebih setengah jam kami ‘terpacak’ depan lif.
Kadang-kadang disebabkan perkara tersebut, ia mungkin nampak kecil pada mata, tetapi saya seakan sudah serik untuk ke tempat sama.
Saya berharap pihak tempat penginapan lebih cakna mengenai hal-hal sebegini lebih-lebih lagi sempena Tahun Melawat Malaysia atau Visit Malaysia 2026 sudah pun bermula pada 1 Januari.
Wani
Shah Alam















