SUNGAI BULOH – Tindakan pasangan suami isteri cuba merempuh beberapa anggota polis ketika mereka ditahan di Lorong Setia 4, Kuang, di sini, semalam telah memaksa polis melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu juga menyebabkan seorang anggota polis berpangkat Koperal mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan tangan selepas dirempuh kenderaan yang dinaiki suspek.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’ aton Abu Bakar berkata, polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke bahagian belakang tayar kereta yang dinaiki pasangan berusia 37 dan 26 tahun itu dalam usaha mempertahankan diri mereka.
“Kejadian berlaku ketika polis melancarkan operasi rentas khas terhadap saki baki anggota kumpulan Haslim yang terbabit dalam beberapa kejadian samun di daerah ini.
“Sebaik menerima maklumat, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh telah pergi ke tempat letak kereta di Tasik Biru Kuang dan menemui kereta dinaiki pasangan berkenaan,” ujarnya ketika sidang akhbar di IPD Sungai Buloh di sini hari ini.
Jelasnya, polis segera menghampiri kenderaan suspek termasuk memperkenalkan diri namun suspek bertindak memandu dalam keadaan berbahaya dan cuba merempuh pasukan polis berkenaan.
“Dalam keadaan kelam kabut itu, anggota polis terpaksa membaling topi keledar ke bahagian cermin kereta bagaimanapun suspek berkeras melarikan diri.
“Ketika aksi kejar mengejar berlaku, polis mengarahkan mereka berhenti namun suspek enggan menuruti arahan itu sebaliknya, bertindak memandu melawan arus di simpang tiga lampu isyarat Tasik Biru,” ujarnya. -K! ONLINE
















