PETALING JAYA – Unsur mistik sering dikaitkan sebagai punca kehilangan individu ketika melakukan ekspedisi mendaki di gunung mahupun bukit dalam negara ini.
Pengerusi Persatuan Malim Gunung Malaysia, Muzafar Mohamad, 49, berkata, bagaimanapun, perkara itu tidak boleh dijadikan panduan dalam usaha pencarian mangsa.
Menurutnya, ia berikutan kebanyakan maklumat yang diperoleh melalui kaedah alternatif seperti bomoh adalah tidak tepat dan hanya akan mengganggu operasi.
“Saya tidak nafikan mengenai unsur mistik, tetapi ia tidak boleh dijadikan panduan. Sebaliknya, kita perlu fokuskan kepada kronologi kejadian dan fakta sebagai petunjuk,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.
Untuk rekod, negara pernah digemparkan dengan kehilangan Nur Umaisarah Same’aun atau lebih dikenali sebagai Umai selama 19 hari di Gunung Tahan, Pahang pada 2008 dan Mohd. Azarul Mukhriz yang hilang selama seminggu di Bukit Broga, Semenyih pada 2017.
“Seperti kes Umai, tiada siapa jangka dia akan melalui laluan berkenaan dan sebenarnya bila kita jumpa dia, Umai kata dia tidak berjumpa dengan sebarang individu ataupun entiti.
“Sama juga seperti semasa Mohd. Azarul dijumpai, dia tidak ada sebut mengenai bunian atau perkara mistik. Hanya selepas seminggu baru dia dakwa berjumpa dengan kanak-kanak berjubah putih,” ujarnya.
Muzafar yang juga pernah menyertai usaha pencarian Hassan Ayat yang hilang ketika ekspedisi mendaki Gunung Yong Yap pada 2008 berkata, daripada pengalamannya melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR), faktor utama perkara itu berlaku adalah kerana rupa bentuk muka bumi di Malaysia.
Menurutnya, misi mencari orang hilang adalah bukan sesuatu yang mudah kerana hutan di Malaysia dilitupi dengan pelbagai tumbuhan sertai mempunyai cerun atau gaung yang ekstrem.
“Sebagai contoh, kami pernah mencari orang hilang di Templer Park yang mana dia dijumpai di celahan batu akibat terjatuh. Individu itu ditemui seorang petugas yang secara kebetulan melalui kawasan itu kerana hendak membuang air kecil,” jelasnya.
Justeru, Muzafar berkata, dakwaan mengenai disembunyikan atau berkahwin dengan bunian termasuk menyatakan punca kehilangan ekoran unsur mistik merupakan stigma masyarakat tempatan.
“Bagi pandangan saya, dakwaan ini hanya berlaku di Malaysia lebih-lebih lagi apabila individu itu gagal ditemui dan unsur mistik tidak wajar dikatakan sebagai punca kehilangan,” jelasnya.















