PORT DICKSON – Enam buah hospital swasta di negeri ini bersedia menerima kehadiran pelancong perubatan terutamanya dari negeri jiran seperti Indonesia, Singapura dan Thailand.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, kesemua hospital kini sudah membuat pelbagai persiapan termasuk menambah fasiliti serta bagunan dalam menyokong hasrat Kerajaan Negeri menarik pelancong perubatan.
“Ini sasaran kita kerana banyak pelancong dari luar sudah mula datang ke negara ini semata-mata untuk menjalani rawatan kesihatan. Buat masa ini, kita sasarkan negara jiran dahulu kerana lebih mudah.
“Kami akan adakan lebih banyak misi jualan ke negara jiran dan juga Kemboja,” katanya kepada pemberita selepas menyambut 163 pelancong dari Indonesia sempena Kempen Visit Malaysia 2026 (VM2026) dan Negeri Sembilan di Jeti Penumpang Port Dickson, di sini, hari ini.
Untuk rekod, Jeti Penumpang Port Dickson merupakan antara 55 pintu masuk utama dan lokasi terpilih di kesemua 13 negeri di negara ini sempena sambutan serentak pelancong.
Dalam pada itu, Nicole menyatakan, Kerajaan Negeri menyasarkan sebanyak 25 juta pelancong domestik dan juga antarabangsa dengan 60 peratus daripadanya adalah dari pelancongan pantai di daerah ini, 30 peratus pula eco pelancongan dan 10 peratus pelancongan warisan.- KOSMO! ONLINE














