LONDON – Chelsea membuat keputusan mengejut apabila ‘berpisah’ dengan pengurus pasukan, Enzo Maresca susulan kemerosotan prestasi yang dialami oleh skuad The Blues sejak beberapa perlawanan lepas.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi, Chelsea mengucapkan terima kasih kepada Maresca yang telah membantu pasukan menjulang trofi Liga Konferens Eropah dan Piala Dunia Kelab pada tahun lalu.
“Chelsea membuat keputusan untuk berpisah dengan Maresca serta-merta.
“Maresca telah membantu pasukan menang Liga Konferens Eropah dan Piala Kelab Dunia yang akan kekal menjadi sebahagian daripada sejarah kelab.
“Namun, pasukan masih ada lagi objektif untuk mengharungi empat kejohanan pada musim ini dan fokus untuk layak ke kancah Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim depan.
“Justeru, pihak pengurusan yakin keputusan ini adalah yang terbaik untuk memastikan pasukan kembali ke landasan sebenar,” kata kenyataan itu.
Difahamkan, skuad The Blues dijangka mengumumkan pengendali baharu dalam masa terdekat dengan bekas jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez menjadi pilihan No. 1. – AGENSI














