fbpx
Antara individu yang dikenakan tindakan notis NPK pada Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026. FOTO FACEBOOK SWCorp

Puntung rokok, botol minuman sisa paling banyak dikutip pada Tahun Baharu 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mengeluarkan sebanyak 42 Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) dalam operasi penguatkuasaan sempena Sambutan Ambang Tahun Baharu 2026.

Menurut SWCorp, operasi itu dilaksanakan menerusi Ops Cegah secara besar-besaran di 11 lokasi tumpuan di negeri yang mengguna pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.

Katanya, penguatkuasaan penuh terhadap kesalahan membuang sampah kecil bermula pukul 12.01 tengah malam tadi, sekali gus memberi amaran jelas bahawa perbuatan tersebut tidak akan dikompromi.

“Sebanyak 42 NPK dikeluarkan terhadap individu yang membuang, menempatkan atau meninggalkan sisa di tempat awam. Semua pesalah akan disiasat dan didakwa di mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, antara sisa paling banyak dikesan ialah puntung rokok, botol dan tin minuman, plastik, tisu serta pembalut makanan.

Ops Cegah turut melibatkan mobilisasi besar-besaran anggota penguat kuasa, pengurusan tertinggi SWCorp dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan serta dibantu 330 pekerja syarikat konsesi bagi memastikan kawasan dibersihkan segera.

Selain denda, SWCorp menjelaskan, hukuman khidmat masyarakat turut dikenakan bagi mendidik pesalah supaya lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran.

“Operasi tamat pada pukul 3 pagi, namun tindakan susulan diteruskan pagi ini. Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan aduan melalui WhatsApp Aduan SWCorp di 013-210 7472,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN