MARRAKESH – Kebangkitan dramatik dipamerkan juara bertahan, Ivory Coast ketika menewaskan Gabon 3-2 pada aksi Kumpulan F Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025 di Stadium Marrakesh awal pagi semalam.
The Elephants tersentak seketika apabila Gabon berjaya mendahului 2-0 seawal minit ke-21 menerusi jaringan Guelor Kanga dan Denis Bouanga sebelum Jean-Philippe Krasso merapatkan kedudukan di penghujung separuh masa pertama.
Ketika perlawanan berbaki enam minit, Ivory Coast melancarkan serangan ‘berskala besar’ ke arah pintu gol Gabon dan ia membuahkan hasil apabila mereka menambah lagi dua gol menerusi Evann Guessand serta Bazoumana Toure.
Keputusan itu menyaksikan Ivory Coast terus mengekalkan aksi tanpa kalah pada saingan kali ini selain meremukkan hati pemain-pemain Gabon yang gagal mengutip sebarang mata selepas tewas dalam ketiga-tiga perlawanan.
Skuad kendalian Emerse Fae itu pastinya menjadi sasaran setiap pasukan lain menjelang aksi pusingan 16 terbaik nanti memandangkan mereka turun dengan status sebagai juara bertahan selain dilimpahi pemain bintang.
Menjelang aksi pusingan kalah mati nanti, Ivory Coast dijadualkan bertemu naib juara Kumpulan E, Burkina Faso yang mencatat dua kemenangan ke atas Equatorial Guinea dan Sudan selain tewas kepada Algeria.
Meskipun dilabelkan sebagai pilihan menjelang pertemuan tersebut, namun The Elephants harus berwaspada memandangkan Burkina Faso turut dianggap antara pasukan yang mampu melakar kejutan. – AGENSI














