fbpx
Antara pesakit diabetes yang dibantu oleh sebuah syarikat mendapatkan kaki palsu percuma.

Hilang kaki sebab ketagih minuman manis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sebahagian pesakit diabetes menyesal apabila tabiat mengambil minuman manis termasuk bikarbonat setiap hari menyebabkan mereka kehilangan kaki yang menyukarkan hidup dan menjejaskan kesihatan mental.

Ada antara mereka memberi alasan ketagihan disebabkan hendak berjaga malam untuk mengulang kaji pelajaran, me­ngandung dan mencampurkan air kola dengan susu pekat manis.

Sheerwina, 39, berkata, dia kehilangan kaki kanan selepas disahkan menghidap kencing manis pada 2020 apabila anggota badannya itu melecet secara tiba-tiba.

Katanya, dia kemudian mendapatkan rawatan di klinik, namun selepas makan dan sapu ubat, lukanya masih tidak sembuh dan berair.

“Bacaan gula pula menunjukkan 23 dan akhirnya jari kaki kiri perlu dibuang tetapi kaki kanan pula kena potong sebab sudah teruk.

“Apabila teringat balik, saya suka minum minuman manis setiap malam sejak zaman universiti. Saya minum untuk beri tenaga ketika berjaga malam bagi mengulang kaji,” katanya kepada Kosmo!.

Menurut Sheerwina, tabiat itu diteruskan ketika bekerja dan dia sedih kerana kehilangan anggota paling penting ketika usianya baru 39 tahun.

Tambahnya, dia tertekan dan merasa rendah diri apabila melihat rakan sebaya masih boleh bekerja.

“Memang susah hendak me­nguruskan diri tetapi suami dan adik banyak membantu. Syukur saya dapat berdiri semula menggunakan kaki palsu,” katanya.

Dia merupakan salah seorang pesakit yang menerima kaki palsu daripada Kedidi Global Sdn. Bhd. menerusi program tanggungjawab sosial korporat bersama syarikat penyedia insurans terkemuka.

Nora, 38, pula memberitahu, dia mengetahui menghidap diabetes selepas mengandung anak bongsu.

“Ketika itu usia saya 37 tahun dan doktor mengesahkan diabetes sebelum mengandung. Sebelum itu saya tak tahu.

“Kerja berat sebagai penghantar barangan dengan setiap hari perlu berpanas dan menaiki tangga membuatkan saya minum air tenaga bikarbonat botol besar setiap hari sehingga menjadi punca kencing manis,” katanya.

Menurut Nora, akibat itu kaki kanannya perlu dipotong sebelum turut menjadi penerima kaki palsu Kedidi Global.

Seorang lagi penerima kaki palsu yang enggan dikenali, dia mempunyai tabiat suka minum minuman kola yang ditambah dengan susu pekat manis hampir setiap malam.

Katanya, tabiat tidak sihat itu menyebabkan dia menghidap kencing manis dan dipotong kedua-dua kaki hingga perlu menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

“Minum kola letak susu manis tiap-tiap jadi punca kena kencing manis. Nak kata ketagih, tak juga. Tapi memang sedap, jadi tiap malam minum benda sama.

“Saya tahan-tahan, kalau boleh tak nak potong kaki. Tapi nak buat macam mana, kena potong juga,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN