SERDANG – Sehari sebelum tempoh akhir Sumbangan Asas Rahmah (Sara) berakhir, pelajar-pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) memilih untuk menggunakan sebelum tarikh luput.
Mahasiswa Perdana yang juga wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPM, Qistina Maisarah Muhammad Hafizi, 20, berkata, keputusan menggunakan Sara pada saat akhir dibuat selepas perbincangan dan persetujuan bersama secara sukarela dalam kalangan mereka.
“Setelah berbincang kami buat keputusan untuk guna wang itu untuk disalurkan kepada pelajar yang memerlukan,” katanya.
Katanya, sumbangan berjumlah RM100 setiap seorang itu digunakan bagi membeli bahan mentah makanan untuk menyokong inisiatif Dapur Siswa UPM memasak di kolej kediaman.
“Inisiatif yang kami berikan ini memberi peluang kepada pelajar untuk memasak sendiri dan kurangkan kos perbelanjaan harian, terutamanya bagi mahasiswa yang berdepan kekangan kewangan dan tekanan kos sara hidup,” jelasnya.
Sementara itu, Mohamad Haziq Haiqel Mohd. Toha, 20, memaklumkan seramai empat orang wakil dari kumpulan pelajar yang sama telah menyumbangkan RM100 melalui Sara dengan jumlah keseluruhan digunakan sepenuhnya untuk pembelian barangan dapur asas.
“Antara barangan yang dibeli ialah beras, minyak, tepung dan keperluan memasak lain untuk kegunaan pelajar di Dapur Siswa,” katanya.
Mengulas mengenai nilai bantuan tersebut, dia mengakui jumlah RM100 mungkin kelihatan kecil bagi sesetengah pihak, namun impaknya menjadi besar apabila disalurkan secara kolektif.
“Apabila diguna secara strategik, RM100 mampu memberi manfaat kepada ramai pelajar. Bahan mentah yang dibeli boleh digunakan oleh ramai pihak dan impaknya jauh lebih meluas,” ujarnya.
Dalam pada itu, mereka berpandangan inisiatif bantuan yang bersifat khusus untuk pelajar amat diperlukan kerana lebih memahami realiti kehidupan di kampus.
















