fbpx
Wan Rosdy (tiga dari kiri) menyerahkan replika sumbangan kepada wakil sekolah pada program CKS Bersama TNB Pahang di Lipis baru-baru ini.

TNB peruntuk RM1 juta untuk CKS 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LIPIS – Program Ceria Ke Sekolah (CKS) yang merupakan inisiatif tahunan Tenaga Nasional Berhad (TNB) adalah program yang amat signifikan dan bermakna dalam membantu golongan memerlukan.

Malah program di bawah agenda tanggungjawab sosial korporat (CSR) TNB yang dimulakan sejak 12 tahun lalu jelas sekali menzahirkan komitmen terhadap aspirasi Malaysia MADANI.

Sejajar pendekatan integrated thinking, CKS menyumbang kepada pembangunan modal sosial dan hubungan (social & relationship capital) dengan memberikan kelengkapan persekolahan kepada anak-anak daripada keluarga B40 bagi membantu meringankan beban ibu bapa dan menyemai semangat anak-anak untuk terus belajar.

Sejak 2013, CKS telah memberi manfaat kepada lebih 86,000 keluarga di seluruh negara, dengan per­belanjaan keseluruhan RM13.7 juta, mencerminkan pelaburan berterusan TNB dalam pembangunan sosial dan pendidikan inklusif.

Bagi sesi persekolahan 2026, CKS dilaksanakan dengan peruntukan Bajet CSR Tahun Kewangan 2025 berjumlah RM1 juta bertujuan memastikan kesinambungan sokongan pendidikan kepada komuniti memerlukan.

Pelajar ceria dan bersemangat menunjukkan baucar yang diterima sekali gus meringankan beban perbelanjaan keluarga masing-masing.

Dengan tema Pendidikan Untuk Semua, CKS 2026 yang melibatkan 88 lokasi dikenal pasti berdasarkan kawasan operasi strategik TNB di seluruh negara memberi manfaat kepada 10,000 pelajar daripada keluarga B40.

Melalui CKS pemberian baucar atau kelengkapan persekolahan ber­nilai RM100 bagi setiap pelajar, sekali gus membantu meringankan beban kewangan keluarga B40.

Secara tidak langsung, CKS memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap peranan TNB sebagai syarikat utiliti yang konsisten menyumbang kepada pembangunan dan kesejah­teraan sosial.

Seterusnya melalui program ini, ia memupuk semangat sukarelawan dalam kalangan warga kerja TNB di seluruh negara dengan budaya orga­nisasi berasaskan nilai.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail men­yambut baik dan mengalu-alukan program dilaksanakan TNB ini yang dilihat amat membantu murid-murid dan ke­luarga mereka.

“Hari ini TNB telah memilih Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Keledek yang melibatkan 150 murid dengan peruntukan sebanyak RM15,000.

“Jadi saya harap mereka dapat tambahkan lagi peruntukan ini dan saya sangat berterima kasih kepada mereka.

“Saya mengucapkan tahniah kepada TNB dan saya menyeru lebih ramai lagi organisasi korporat melibatkan diri atau membantu menunaikan CSR di negeri Pahang,” katanya pada Program CKS Bersama TNB Pahang di Laman Sejahtera di sini baru-baru ini.

Menurutnya, sejak dilaksanakan di seluruh negara dari 2013 hingga tahun ini, TNB telah membantu kira-kira 86,000 keluarga melibatkan 485 kawasan.

Abdullah Wafi Zulqarnain

Sementara itu, CKS amat bermakna bagi pelajar yang menerima bantuan tersebut selain dapat menceriakan malah menyuntik semangat mereka untuk kembali ke sekolah pada pertengahan Januari depan.

Melalui sumbangan baucar untuk membeli peralatan sekolah atau sumbangan terus peralatan sekolah ia juga dilihat mampu meringankan beban ibu bapa untuk menyediakan peralatan sekolah kepada anak-anak.

Seorang murid Tahun 5 sekolah tersebut Abdullah Wafi Zulqarnain, 11, berkata, pemberian baucar ber­kenaan memberikan semangat kepadanya untuk belajar bersungguh-sungguh.

Anak keempat daripada lima ­beradik itu berkata, pemberian sumbangan itu jelas membakar lagi semangatnya bagi mengejar cita-cita menjadi seorang mufti seterusnya membalas jasa kedua ibu bapanya.

“Saya tidak mahu membebankan kedua-dua ibu bapa saya kerana saya terpaksa memakai beg sekolah yang lama sehingga sekarang.

“Kali ini mungkin dengan sumbangan yang diterima ini saya dapat membeli pelbagai peralatan sekolah termasuk beg sekolah,” jelasnya.

Nuraina Nadhirah Mohd Fauzi

Dalam pada itu Nuraina Nadhirah Mohd Fauzi, 11, berkata, dia amat te­ruja apabila dimaklumkan menerima bantuan CKS dan baucar tersebut akan digunakan bagi membeli peralatan sekolah sebelum memulakan sesi persekolahan baharu tahun hadapan.

“Sebenarnya saya amat gembira apabila menerima baucar ini dan saya tidak sabar untuk pergi ke kedai bagi mendapatkan peralatan persekolahan baharu dan ibu bapa saya tidak perlu keluarkan duit.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada TNB kerana memilih saya untuk menerima bantuan ini dan ia amat bermakna sekali,” jelasnya.

Dalam pada itu Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Kampung Keledek, Mohamad Ramizam Abd Rahman berkata, bantuan ini amat bermakna apabila dia sendiri melihat kegembiraan dan keceriaan murid-murid yang dipilih sebagai penerima bantuan.

Mohamad Ramizam Abd Rahman

Katanya, ia sangat membantu persiapan murid-murid menghadapi musim persekolahan baharu terutama keluarga yang berhadapan dengan kekangan kewangan.

“Program ini juga amat diperlukan kerana di sekolah ini kebanyakan penjaga murid bekerja kampung dan bekerja sendiri termasuk penoreh getah yang tidak mem­punyai pendapatan tetap.

“Ia dapat meringankan beban keluarga mereka dan sekali gus memberikan motivasi kepada murid-murid untuk belajar dan berusaha bersungguh-sungguh.

“Saya sebagai wakil kepada ibu bapa dan pihak sekolah mengucapkan terima kasih kepada TNB yang membuat program ini dan ia sangat membantu masyarakat kampung,” katanya.

Beliau berharap pada tahun hadapan program seperti itu dapat diteruskan lagi dengan memilih sekolah berkenaan juga sekolah lain dalam daerah yang sama. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN