SEORANG pempengaruh dari China mencipta sensasi selepas memuat naik video yang mempamerkan kemampuannya menerbangkan kira-kira 30 buah pedang secara serentak di udara.
Menggabungkan kesenian tradisional, fiksyen dan teknologi, pempengaruh dari wilayah Sichuan dikenali sebagai Fan Shisan itu berjaya menarik perhatian warga maya menerusi inovasi dron moden yang membolehkan pedang terbang.
Difahamkan, pedang yang direka khusus menyerupai senjata tradisional Cina dipanggil Jian itu telah dihasilkan oleh Shisan bagi menjayakan aksi pedang terbang tersebut.
Seperti menyaksikan babak pertarungan dalam filem, Shisan berjaya mengawal kesemua pedang tersebut menerusi alat kawalan khas yang diletakkan pada tangannya.
Alat tersebut mampu mengawal pedang dengan hanya menggerakkan tangan sama ada ke atas, bawah, depan atau belakang.
Menariknya, setiap pedang dilengkapi kipas kecil pada ‘pommel’ (bahagian bawah pemegang) dan dua lagi di sisi cross-guard bagi memudahkan bergerak ke udara.
Memetik laporan Futurism, kesemua pedang tersebut dikawal menggunakan sistem kawalan pergerakan atau motion control yang membolehkan Shisan menentukan arah, kelajuan dan posisi pedang ketika terbang.
“Hanya dengan sedikit pergerakan, Shisan boleh mengubah arah pedang di udara dengan serta-merta, seolah-oleh ada kuasa magik.
“Adegan seperti ini sering kita lihat dalam karya fiksyen seni mempertahankan diri Cina dan antarabangsa.
“Meskipun pedang tersebut bukan senjata sebenar, namun kesan ilusi yang terhasil sudah cukup meyakinkan dan menghiburkan,” katanya.
Video tersebut turut menarik perhatian pengguna media sosial yang memuji sikap Shisan dalam memartabatkan budaya tempatan dengan menggabungkan teknologi moden pada masa kini.
Malah Shisan sebelum ini turut menyatakan matlamat untuk mencipta formasi 10,000 pedang yang bergerak serentak, sekali gus menjadi pencapaian terbesar buat dirinya.
“Diinspirasikan daripada adegan epik dalam siri fantasi, Wuxia (pendekar bela diri), saya ingin melihat ia bukan lagi satu fiksyen yang perlu menggunakan imej janaan komputer (CGI).
“Dengan menggunakan sistem penderiaan gerakan (motion-sensing) tanpa alat kawalan jauh tradisional, pedang ini bertindak balas menerusi sambungan kepada anggota badan manusia,” katanya.
Usaha itu bukan kali pertama menyaksikan gabungan dunia dron dengan pedang.
Hal ini kerana sekitar awal tahun ini, Shisan telah mencetuskan sensasi apabila memperkenalkan pedang terbang bersaiz gergasi yang boleh dinaiki manusia.
Mirip dengan binaan hoverboard futuristik dalam filem Back to the Future II, projek tersebut dibangunkan oleh Shisan bersama pasukannya seramai empat orang dengan mengambil masa hampir dua bulan untuk disiapkan.

Minat Shisan terhadap pedang bukan sekadar hobi atau gimik media sosial, sebaliknya dia merupakan pemegang dua rekod Guinness World Records berkaitan seni penggunaan senjata itu.
Rekod pertama adalah masa terpantas memotong lima helai kertas A4 di udara dengan catatan masa 7.46 saat.Manakala rekod kedua adalah masa terpantas memotong 10 biji tembikai menggunakan pedang. Pencapaian tersebut membuktikan Shisan bukan sekadar pencipta teknologi, malah seorang pengamal seni mempertahankan diri yang hebat.
Gabungan kemahiran fizikal beserta minat mendalam terhadap budaya tradisional dan keupayaan kejuruteraan menjadikan kandungannya unik serta sukar ditiru orang lain.
Usaha Shisan juga membuatkan barisan penggiat filem aksi tertarik untuk menggunakan teknologi yang diperkenalkan olehnya.
Hal ini kerana pada masa hadapan, industri filem aksi berkemungkinan mengurangkan kebergantungan terhadap teknik CGI memandangkan pelbagai teknologi canggih sudah dibangunkan.
Sementara itu, salah seorang pelajar jurusan perfileman di sebuah universiti terkemuka China, Li Wei berkata, kemajuan teknologi yang sedang pesat membangun akan membentuk hala tuju baharu bagi industri perfileman global.
Ujarnya, kemahiran dan kejuruteraan dron dipadankan dengan kemampuan kecerdasan buatan (AI) bagi membantu pengkarya menghasilkan naskhah yang lebih berkualiti pada masa depan.
“Kemampuan sebegini (pedang terbang) perlulah dimanfaatkan kerana filem aksi antara karya yang banyak menggunakan kesan khas, dan kaedah ini boleh diguna pakai untuk masa akan datang.
“Kaedah ini bukan sahaja memberi kesan lebih realistik, malah menjadi penanda aras kualiti sesebuah karya yang akan dipersembahkan kepada penonton,” katanya dalam satu hantaran di Threads.
Seiring perjalanan waktu, usaha Shisan membangunkan kandungan digital berteraskan kreativiti, identiti budaya dan inovasi bukan sekadar bahan tontonan hiburan semata-mata.
Sebaliknya, dia membuktikan bahawa di sebalik aksi menghiburkan itu, satu inovasi baharu berjaya dibangunkan, di samping membuka ruang perbincangan kepada masyarakat tentang hala tuju teknologi pada masa akan datang.














