fbpx
Tangkap layar seekor ikan lumba-lumba yang terdampar di Pantai Karambunai, Sabah hari ini.

[VIDEO] ‘Dolphin’ terdampar, kaki judi online paling sibuk komen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Penemuan seekor ikan lumba-lumba yang terdampar di pesisir Pantai Karambunai, Sabah, mencetuskan perhatian ramai dan tular di media sosial sejak pagi tadi.

Dalam beberapa rakaman video yang dikongsi, kelihatan haiwan marin itu berada berhampiran gigi pantai sebelum orang awam bertindak membantu mengalihkannya semula ke laut.

Kejadian berkenaan turut mengundang pelbagai reaksi simpati daripada orang ramai yang menyuarakan kebimbangan terhadap nasib hidupan laut terbabit.

Namun, tumpuan orang ramai beralih apabila ruangan komen dipenuhi dengan reaksi tidak dijangka daripada segelintir individu yang dipercayai kaki mesin slot judi, apabila mereka mengaitkan kemunculan lumba-lumba itu dengan nama permainan judi dalam talian dikenali sebagai ‘Dolphin Reef’.

Antara komen yang tular termasuk ‘Dolphin Reef tengah bagi free spin ke ni?’ dan ‘Kalau dolphin naik pantai, game Dolphin Reef pasti panas’, sekali gus mencetuskan kecaman pengguna media sosial lain yang menganggap kenyataan itu tidak sensitif.

Ramai netizen menyifatkan tindakan tersebut sebagai melampau kerana mengaitkan insiden melibatkan hidupan liar dengan aktiviti perjudian, selain menegaskan isu pemeliharaan alam sekitar sepatutnya menjadi keutamaan.

“Ikan lumba-lumba tu makhluk hidup, bukan simbol judi. Tolong bezakan realiti dengan ketagihan game,” tulis seorang pengguna.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan pihak berkuasa mengenai punca lumba-lumba tersebut terdampar, namun orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi dan segera menghubungi agensi berkaitan sekiranya berlaku kejadian sama.

Insiden di Pantai Karangbunai itu sekali lagi membuktikan bagaimana sesuatu peristiwa alam boleh menjadi tular bukan sahaja kerana kejadiannya, tetapi juga disebabkan sikap segelintir pengguna media sosial di ruang komen.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI