RABAT – Nigeria mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) selepas menewaskan Tunisia 3-2 dalam aksi Kumpulan C yang berlangsung dengan cukup dramatik di Stadium Fes, awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, skuad Super Eagles berjaya meraih gol menerusi penyudah Victor Osimhen, Wilfred Ndidi dan Ademola Lookman sebelum Tunisia bangkit merapatkan jurang dengan meraih dua gol hasil ledakan Montassar Talbi serta Ali Al-Abdi.
Pengendali Nigeria, Eric Chelle percaturan taktikal yang dilakukan untuk mendomoninasi perlawanan membuahkan hasil apabila berjaya mendahului 3-0 sebelum benteng pertahanan sedikit goyah pada penghujung saingan.
“Sebelum perlawanan, dalam fikiran saya ada dua pilihan. Sama ada kami membiarkan Tunisia menguasai bola dan melakukan serangan balas pantas atau kami kekal dengan falsafah permainan kami.
“Pujian wajar diberikan kepada pasukan Tunisia kerana memberi tentangan yang sengit tetapi saya tidak terkejut kerana mereka ada ramai pemain berkualiti,” katanya.
Sementara itu, Ndidi selaku kapten pasukan berharap keputusan itu dapat melonjakkan lagi semangat pemain untuk memburu trofi AFCON buat kali keempat dalam sejarah.
“Kita mahu memahat rekod baharu kerana kami anggap ia akan menjadi satu pencapaian besar buat kami tiada siapa dalam pasukan ketika ini yang pernah menang AFCON sebelum ini,” katanya. – AGENSI













