KUALA LUMPUR – Keinginan untuk tampil ‘gah’ mendorong pemilik motosikal Yamaha Y15ZR atau lebih dikenali sebagai ‘Ysuku’ sanggup membelanjakan sehingga RM18,000 bagi melakukan pengubahsuaian secara ekstrem.
Perkara itu didedahkan hasil Operasi Pelbagai yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Putrajaya bersama JPJ Kuala Lumpur di sekitar ibu negara, termasuk di susur Genting Sempah, Plaza Tol Gombak dan Jalan Ampang malam tadi.
Antara kesalahan utama dikesan adalah penggunaan ekzos bising, ketiadaan sistem brek depan atau belakang, penggunaan tayar tidak mengikut spesifikasi serta pemasangan enjin berkuasa tinggi yang melanggar peraturan keselamatan.
Pemerhatian Kosmo! semasa operasi mendapati sebahagian penunggang bertindak berbahaya dengan melawan arus, membuat pusingan U secara haram dan memecut laju bagi mengelak pemeriksaan.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, sebanyak 63 motosikal yang diubah suai secara ekstrem disita dalam operasi yang bermula pukul 10 malam tadi.
Menurut beliau, sepanjang operasi berkenaan, sebanyak 3,244 kenderaan diperiksa dan 811 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
“Tangkapan penunggang motosikal paling muda direkodkan berusia 14 tahun dan berada di jalan raya dengan motosikal yang telah diubah suai secara keterlaluan,” katanya pada sidang akhbar selepas Ops Pelbagai JPJ Kuala Lumpur di Jalan Ampang, di sini, malam tadi.
Ujarnya, JPJ akan terus melaksanakan pemeriksaan menyeluruh melibatkan pematuhan spesifikasi teknikal, penggunaan nombor pendaftaran sah, lesen memandu serta cukai jalan bagi memastikan keselamatan jalan raya terus terpelihara. – KOSMO! ONLINE














