KUALA TERENGGANU – Situasi banjir kilat yang melanda pusat bandar raya ini kelmarin memberi kesan terhadap industri pelancongan dengan purata 40 peratus tempahan bilik penginapan telah dibatalkan pelanggan.
Rata-rata mereka yang merancang melancong ke Terengganu ketika cuti sekolah ini membatalkan niat itu pada saat-saat akhir kerana tidak mahu terperangkap di dalam banjir.
Seorang kakitangan Hotel Arena Boutique, Rafizi Amirul Mamat berkata, lebih 40 peratus tempahan bilik penginapan di hotelnya telah dibatalkan pelanggan sejak kelmarin.
“Kami tidak henti-henti dihubungi pelanggan untuk membuat pembatalan tempahan bilik sejak semalam (kelmarin).
“Mereka risau jika banjir selain tidak selesa melancong dalam keadaan cuaca tidak menentu ketika ini,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Katanya, biarpun mengalami kerugian, pihak pengurusan hotel memahami situasi itu memandangkan cuaca sukar untuk dijangka.
Sehubungan itu, ujarnya, pilihan pembayaran balik atau menukar tarikh penginapan telah ditawarkan kepada pelanggan terlibat.
“Sebelum ini bilik penginapan di hotel kami pada musim cuti persekolahan ini hampir penuh berikutan lokasinya yang strategik berhampiran destinasi pelancongan utama bandar raya ini,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Hotel Primula, Suaibah Harun berkata, pihaknya turut menerima tempias dengan 10 peratus tempahan telah dibatalkan ekoran banjir kilat kelmarin.
“Kami faham situasi luar jangka membabitkan pelanggan ini. Ia masih terkawal dan tidak memberi kesan besar terhadap operasi hotel,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan, pusat bandar raya ini hampir lumpuh apabila kebanyakan laluan utama terpaksa ditutup untuk kegunaan pengguna jalan raya ekoran ditenggelami banjir.
Selain Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Dungun juga terjejas banjir melibatkan 468 mangsa daripada 116 keluarga setakat ini.














