PARIS – Legenda bola sepak Perancis, Frank Leboeuf percaya tidak wajar barisan kejurulatihan skuad kebangsaan Les Bleus untuk memanggil semula Paul Pogba bagi kembali menyarung jersi Perancis pada Piala Dunia tahun depan.
Menurut Lebouef, tiada guna jika ketua jurulatih, Didier Deschamps menggunakan nilai sentimental untuk membawa bekas pemain Manchester United itu ke kem skuad kebangsaan memandangkan dia baru sahaja kembali beraksi secara kompetitif selepas berehat panjang.
“Deschamps memang sukakan Pogba, tetapi untuk dia kembali ke tahap terbaik selepas lama tidak bermain adalah sangat sukar. Mungkin dia sering menjalani latihan insenti tidak sama dengan perlawanan sebenar.
“Saya faham jika dia (Deschamps) mahu gunakan formula lama dengan menggandingkan Pogba dengan N’Golo Kanté. Jika bersandarkan nilai sentimental, kenapa tidak panggil Antoine Griezmann sekali dan Zinedine Zidane juga?
“Secara peribadi, saya rasa karier Pogba bersama skuad kebangsaan Perancis sudah berakhir dan kalau ada, mungkin hanya lima peratus peluang bergantung dengan prestasinya pada musim ini,” katanya.
Sebagai rekod, Pogba yang kali terakhir mewakili Perancis pada Mac 2022 menjadi antara tonggak kejayaan pasukan menjulang Piala Dunia edisi 2018, termasuk menjaringkan gol dalam final menentang Croatia.
Namun karier Pogba merudum selepas berhijrah dari United ke Juventus sehingga dikenakan penggantungan doping selama 18 bulan pada 2023 dan kini menyertai skuad Ligue 1, AS Monaco sejak Ogos lepas. – AGENSI














