PETALING JAYA – Polis mengesahkan insiden kebakaran yang meragut nyawa dua beranak di sebuah rumah di Flat Sentul Utama, Jalan Dato Senu, di sini semalam tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd. Zahari berkata, siasatan awal termasuk hasil bedah siasat mendapati punca kematian kedua-dua mangsa adalah akibat kebakaran.
“Proses bedah siasat ke atas kedua-dua mangsa telah selesai dijalankan dan setakat ini siasatan mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan wanita warga emas bersama anak lelakinya maut selepas terperangkap dalam kebakaran di sebuah rumah di Sentul, di sini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan melalui sistem MERS 999 pukul 7.18 pagi berhubung kejadian kebakaran sebuah rumah.
Dalam kejadian itu, kedua-dua mangsa ditemukan di dalam tandas rumah berkenaan, masing-masing seorang lelaki berusia 58 tahun dan seorang wanita berusia 82 tahun. -KOSMO! ONLINE














