SHAH ALAM – Pelakon Adam Lee menyahut cabaran menyertai acara muay thai, Fury Redemption kerana mahu membuka mata banyak pihak dirinya mampu menjadi aktor aksi dalam mana-mana filem mahu pun drama.
Menurut pemilik nama Muhammad Arif Adam Mohamed Fadlee, 31, itu, penyertaannya juga sekali gus mahu mengubah persepsi yang mengatakan dunia hiburan tempatan kekurangan pelakon aksi.
“Sejujurnya saya tak letakkan sebarang harapan, menang atau kalah itu perkara biasa tetapi kalau kita main, mestilah nak jadi juara.
“Tujuan saya sertai perlawanan sebab mahu ubah persepsi yang mengatakan industri kita ini kekurangan pelakon aksi.
“Sebenarnya kita tak pernah kekurangan pelakon aksi cuma tidak diberikan peluang dan asyik ulang muka yang sama saja,” katanya kepada Kosmo! Online di sini, semalam.
Dalam pada itu, Adam mengakui dia sudah terlalu lama mendambakan untuk berlakon dalam naskhah bergenre aksi selain mahu lari dari zon selesa.
“Umur sudah cecah 31 tahun dan saya sudah terlalu kerap dapat tawaran drama romantik. Bukan tak bersyukur tetapi kalau boleh mahu mencuba perkara lain dan jadi pelakon versatil.
“Realitinya sudah lebih satu dekad saya dahagakan untuk memaparkan kemampuan diri dalam drama atau filem aksi. Saya dah cuba pelbagai cara termasuk pergi ujicbakat tetapi masih tak diberikan peluang seperti orang lain.
“Harap penyertaan saya dalam pertandingan tersebut dapat buka mata penerbit dan pengarah untuk beri peluang serta mahu buktikan kepada orang yang saya boleh berlakon aksi,” katanya lagi.
Meski sudah lama ‘mengidam’ watak aksi, dia bagaimmanapun tidak cemburu dengan rezeki pelakon lain yang kerap mendapat peluang dalam naskhah aksi.
“Saya tak terkilan atau rasa iri hati sebab itu adalah rezeki masing-masing cuma saya nak juga merasa diberikan peluang itu tapi jangan riaau, saya tak akan pernah berputus asa.
“Kalau nak tahu saya adalah muka yang selalu pergi uji bakat tetapi hujung-hujung, tawaran itu saya tak dapat atau ditukarkan dengan orang lain pada saat akhir.
“Apa pun, kita kena fikir Allah ada juga bagi sesuatu yang mungkin orang lain tak dapat. Saya banyak belajar dengan isteri saya yang banyak menasihati,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














