KANGAR – Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli hari ini mengumumkan untuk meletakkan jawatan secara sukarela atas faktor kesihatan.
Menurut Mohd. Shukri, beliau telah mempersembahkan surat peletakan jawatan kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, tengah hari tadi.
“Saya telah diperkenan untuk mengadap Raja Perlis pada hari ini dan telah menyatakan hasrat saya untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Perlis secara sukarela atas faktor kesihatan saya yang tidak mengizinkan.
“Saya dengan ini menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Tuanku untuk mempertimbangkan hasrat saya ini,” katanya pada sidang akhbar di Kediaman Rasmi MB Perlis sebentar tadi.
Beliau pada masa sama berharap agar penggantinya nanti dapat meneruskan agenda-agenda yang telah dirancang khususnya dalam bajet yang dibentangkan baru-baru ini.
“Ia bagi memastikan kesejahteraan rakyat negeri Perlis ini dan teruslah bekerja dengan sempurna dan istiqamah dalam menentukan kehidupan kita yang lebih sejahtera menjadi rakyat yang berjaya, insya-Allah,” ujarnya.
Ketika ditanya tentang keadaan kesihatannya, beliau memaklumkan mengalami kesakitan pada bahagian dada dan mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
“Ada masalah sikit pada jantung dan selepas dua hari di hospital, doktor dah bagi ubat,” ujarnya.
Dalam sidang akhbar sama, beliau memohon ampun dan maaf atas segala kekhilafan serta kekurangannya sepanjang menggalas amanah yang berat itu.
“Saya menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Raja Perlis, Raja Perempuan Perlis, Raja Muda Perlis dan Raja Puan Muda Perlis kerana memberi peluang kepada saya menjadi Menteri Besar dan mentadbir Kerajaan Negeri Perlis dalam tempoh tiga tahun ini,” ujarnya.
Mohd. Shukri juga membuat penghargaan kepada seluruh warga pentadbiran kerajaan negeri dan rakyat Perlis yang telah memberikan kerjasama baik.
“Ucapan setinggi penghargaan juga kepada pucuk kepimpinan parti serta seluruh ahli parti yang telah memberi kepercayaan kepada saya untuk menjalankan tugasan ini,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE














