PETALING JAYA – Dinyahikut gara-gara terkait isu pemilik haiwan menidurkan kucing, pelakon Elfira Loy menyifatkan individu terbabit terlalu mengikut perasaan tanpa memahami situasi sebenar.
Elfira atau nama sebenarnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 31, berkata, sedikit pun dia tidak terkesan jika pengguna laman sosial berfikiran negatif seperti itu enggan menjadi pengikutnya.
“Saya rasa awak terlalu beremosi. Setakat orang hati tak baik seperti awak ‘unfollow’ saya, saya tidak kisah,” tulisnya dalam hantaran di Threads.
Menerusi perkongsian sama, pelakon drama Di Sebalik Kasyaf itu turut berharap pengguna tersebut memahami perasaan pemilik kucing yang kehilangan haiwan kesayangan akibat penyakit.
Malah Elfira juga mengingatkan individu terbabit agar dapat merasai sendiri pengalaman yang dilalui pemilik kucing.
“Tetapi tunggulah bila giliran awak pula yang tersilap langkah dan buruk di mata orang.
“Dari situ awak akan lihat, orang lain akan lari daripada awak. Ketika itu, baru awak akan tahu posisi dia dan saya,” ujarnya.
Terdahulu, tindakan seorang personaliti media sosial menidurkan kucing peliharaannya akibat menghidap penyakit Feline Infectious Peritonitis (FIP) mencetuskan perdebatan.
FIP adalah penyakit virus yang berisiko membawa maut pada kucing disebabkan jangkitan Feline Coronavirus (FCoV).
Rata-rata netizen tidak bersetuju dengan tindakan tersebut kerana menganggap haiwan itu masih boleh diselamatkan.
Pengguna yang tidak bersetuju kucing itu ditidurkan turut memetik nama Elfira dengan menegaskan ‘unfollow’ orang yang mengikuti akaun pemilik kucing berkenaan.- KOSMO! ONLINE














