PETALING JAYA – “Alang-alang bubar sekali lah Perikatan Nasional (PN), kita wujudkan semula Muafakat Nasional. Amacam?.”
Demikian reaksi Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh berhubung situasi politik di Perlis susulan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dikatakan menghantar akuan bersumpah (SD) kepada pihak istana kerana hilang kepercayaan kepada pimpinan Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.
“Perlis oh Perlis. Dah beritahu sejak dulu lagi sebelum PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) untuk memperkasakan Muafakat Nasional bukan Perikatan Nasional.
“Hari ni baru nampak belang masing-masing, kena tikam belakang,” katanya ringkas pada hantaran Facebook hari ini.
Kosmo! melaporkan, lapan ADUN dikatakan menghantar SD tersebut antaranya lima nama daripada wakil rakyat Bersatu, manakala tiga lagi adalah daripada parti Pas.
Berikutan itu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menerusi kenyataannya semalam, Pas membuat ketetapan terhadap keahlian tiga ADUN Perlis sebagai ahli parti itu terhenti berkuat kuasa serta-merta.
Mereka ialah ADUN Chuping, Saad Seman; ADUN Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan ADUN Guar Sanji, Mohd. Ridzuan Hashim. – KOSMO! ONLINE














