BACHOK – Seorang bekas tentera terkejut melihat mayat kanak-kanak lelaki dalam keadaan terapung menghampiri Pantai Cherang Laut di sini semasa membantu pihak berkuasa mencari mangsa di lokasi tersebut hari ini.
Muhamad Irfan Mohd. Afendi, 9, ditemukan lemas selepas 15 jam hilang akibat ditarik ombak semasa mandi di Pantai Kemayang bersama dua rakannya pada pukul 6.45 petang semalam.
Mohd. Faizal Fauzi, 41, berkata, ketika itu, dia berada atas motosikal dan memantau keadaan Pantai Cherang Laut sebelum melihat mayat kanak-kanak lelaki hanyut menghampiri pantai pada pukul 10.30 pagi.
Katanya, dia yang terkejut segera menghampiri mayat tersebut dan menarik jasad kanak-kanak itu dengan menggunakan sebatang kayu bagi mengelakkan ditarik semula ombak ke tengah laut.
“Mayat mangsa terapung di depan mata. Saya segera menghubungi pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia yang ketika itu turut serta menjalankan rondaan di kawasan pantai tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di Pantai Cherang Laut hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohd. Azrie Sulaiman berkata, mayat mangsa dijumpai kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi mangsa ditarik ombak.
“Ibu bapa mangsa membuat pengecaman di lokasi kejadian sebelum mayat dihantar ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian untuk dibedah siasat. Berdasarkan rekod, sebanyak dua kes lemas dilaporkan di pantai Bachok iaitu Pantai Impian dan Pantai Kemayang tahun ini. – KOSMO! ONLINE














