fbpx
Marhamah (tudung hitam) bersama Noraidah ketika bertemu di Sipitang, Sabah, baru-baru ini.

Mama Zara Qairina antara individu terawal tahu lantikan saya – Marhamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli memaklumkan ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir antara individu terawal yang mengetahui mengenai lantikan tersebut.

Menerusi perkongsian di Facebook, beliau berkata, berita lantikan tersebut turut diketahui oleh peguam kepada Noraidah Lamat.

“Untuk makluman semua, Mama Zara sebenarnya antara orang terawal yang tahu tentang lantikan ini, begitu juga peguam beliau. Beliau sangat teruja dan sempat menasihati saya tentang tatacara pemakaian penjawat awam,” katanya.
Marhamah berkata, sejak awal lagi, beliau bersama Noraidah bergerak sebagai satu pasukan dan masih berhubung hampir setiap hari termasuk bertanya khabar dan berkongsi perkembangan sehingga sekarang.

Katanya, Noraidah merupakan orang yang paling konsisten memberikan semangat apabila beliau dikecam dengan pelbagai tuduhan dan fitnah.

“Walaupun sekarang saya memegang amanah sebagai Timbalan Menteri, sokongan saya tidak pernah berubah.

“Saya akan terus menjaga silaturahim, memberi sokongan dan berkongsi pandangan seperti sebelum ini, cuma dengan peranan dan cara kerja yang berbeza. Terima kasih Mama Zara atas sokongan dan dukungan buat saya,” katanya.

Dalam hantaran sama, Marhamah turut berkongsi pertemuan singkat bersama Noraidah ketika pulang ke Sipitang, Sabah baru-baru ini. Dalam pertemuan itu, beliau sempat makan bersama Noraidah dan berbincang mengenai hal hidup dan perjuangan.

“Sebelum saya balik, beliau (Noraidah) hadiahkan sepasang baju kurung miliknya sebab beliau tahu saya tiada baju kurung. Perkara kecil, tapi besar maknanya bagi saya.

“Baju ini saya pakai esoknya untuk lawatan, untuk mengingatkan saya tentang semangat perjuangan bersama,” ujarnya.

Allahyarham Zara Qairina, 13, yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas sehari dirawat di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.

Remaja itu dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama pada pukul 3 pagi dan mengalami kecederaan parah sebelum dibawa ke hospital.

Marhamah merupakan antara individu terawal yang tampil menyokong Noraidah dalam menuntut keadilan buat anak tunggalnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN