SIAPA sangka di sebalik raut wajah remaja berusia 15 tahun itu tersembunyi bakat luar biasa dalam bidang pesawat kawalan jauh (RC aircraft) yang kebiasaannya hanya diminati oleh golongan dewasa.
Muhammad Harith Anaqi Mohd. Amin, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Sulong, Jeniang, Kedah bukan sekadar ‘pilot RC’ cilik, malah sudah mampu membina sendiri pesawat kawalan jauh dengan rekaan hasil tangannya.
Anak jati Jeniang, Kedah itu mula aktif dalam dunia pesawat kawalan jauh sejak berusia 10 tahun hasil bimbingan dan tunjuk ajar daripada bapanya, Mohd. Amin Mohd Noordin, 54, yang juga seorang peminat tegar sukan udara tersebut.
“Abah banyak ajar teknik-teknik asas, dari penyambungan rangka kayu balsa sehinggalah pemasangan enjin dan sistem kawalan,” katanya ketika ditemui di Karnival Udara Kelantan di Gong Kubur, Pasir Puteh, Kelantan baru-baru ini.
Muhammad Harith Anaqi atau lebih mesra disapa Harith adalah peserta muda tunggal Kedah bersama ratusan pemilik pesawat kawalan jauh seluruh negara yang beraksi di Kelantan. Menurut
Harith, berasaskan pengalamannya selama lima tahun dia telah berjaya membina sendiri tiga buah pesawat kawalan jauh yang menggunakan kayu balsa sebagai rangka asas dan dibalut dengan filem khas untuk aerodinamik yang lebih stabil.
“Bermula dengan model jet mini hingga kapal perang bersaiz besar, telah berjaya saya bina dan hasilkan sendiri,” katanya.

di Karnival Udara Kelantan baru-baru ini.
Menurutnya, komponen seperti enjin dan alat kawalan pula dibeli dari dalam dan luar negara dengan gabungan penggunaan bateri dan bahan api petrol bercampur minyak 2T sebagai sumber tenaga.
Kongsinya, kos membangunkan sebuah pesawat lengkap boleh mencecah sehingga RM7,000 bergantung kepada saiz dan spesifikasi.
“Dua buah pesawat hasil rekaan saya sudah pun berjaya dijual, masing-masing bernilai sekitar RM3,500 hanya untuk bahagian badan sahaja.
“Minat saya bukan sekadar menerbangkan tetapi membina dan membaik pulih pesawat juga memberi satu kepuasan,” ujarnya.
Katanya lagi, dia bersama keluarga memang aktif menyertai pelbagai pertunjukan udara di seluruh negara seperti di Gua Tempurung, Perak; Tanjung Karang, Selangor dan Sungai Petani, Kedah bahkan sudah tiga kali ke Kelantan sebagai juruterbang RC muda.
“Saya bercita-cita untuk menubuhkan bengkel khas pembinaan dan penyelenggaraan pesawat RC. Insya-Allah, satu hari nanti saya mahu buka perniagaan sendiri dan bimbing anak-anak muda lain yang berminat,” tuturnya.
Anak keenam daripada tujuh beradik itu berkata, sokongan keluarga terutama bapanya yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan menjadi tunjang kejayaannya.
“Abah sanggup meluangkan masa dan tenaga untuk menyokong minat saya, termasuk membawa ke seluruh negara untuk menyertai pelbagai acara komuniti sukan udara,” katanya.















