LONDON – Polis Britain bakal memperluaskan penggunaan tudung bermagnet dalam usaha menarik minat lebih ramai wanita beragama Islam menyertai badan beruniform tersebut, lapor portal berita MailOnline semalam.
‘Tudung Cahaya Biru’ itu dihasilkan daripada dua helai kain yang dilekatkan dengan kancing pelepas-cepat bermagnet.
Sistem itu direka bagi membolehkan bahagian bawah tudung tertanggal tanpa mendedahkan rambut anggota sekiranya ia ditarik semasa konfrontasi dengan suspek.
Tudung tersebut telah diedarkan kepada setiap anggota yang layak bagi pasukan Polis Leicestershire, dan bakal diikuti oleh pasukan lain.
Tudung itu dihasilkan dan direka oleh Polis Leicestershire dengan kerjasama Universiti De Montfort.
“Ia mengambil masa bertahun-tahun untuk dibangunkan dengan betul. Kami telah menyelesaikan ujian pertempuran di Enderby dengan anggota wanita memakainya dan ia tahan lama.
“Bahagian bawah tudung dapat ditanggalkan dan anggota tersebut dapat menjaga maruahnya,” kata Detektif Sarjan Yassin Desai yang menerajui kempen tersebut. – AGENSI














