GUA MUSANG – Seorang lelaki obesiti seberat kira-kira 285 kilogram (kg) dibawa menaiki lori lima tan milik Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) untuk menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) dekat Kuala Krai hari ini.
Pegawai APM Gua Musang, Mohd. Hanafi Mohd. Bokri berkata, lelaki berusia 31 tahun itu dipercayai mengalami sakit jantung dan kesukaran bernafas sehingga memerlukan bantuan untuk dihantar ke HSIP.
Katanya, APM menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 4 petang bagi menghantar pesakit dari Klinik Kesihatan Chiku 1 di sini ke HSIP.
“Difahamkan, lelaki itu mengalami sakit jantung dan sukar bernafas sehingga memerlukan bantuan APM untuk dihantar ke HSIP bagi menerima rawatan susulan.
“Empat anggota APM Gua Musang bersama lori lima tan tiba di HSIP kira-kira pukul 8.30 malam dengan jarak perjalanan kira-kira 50 kilometer. Seramai empat lagi anggota APM Kuala Krai membantu mengangkat lelaki itu semasa tiba di HSIP,” katanya.
Mohd. Hanafi memberitahu, pesakit selamat dihantar ke HSIP untuk rawatan lanjut dan anggota APM juga selamat tiba di APM Gua Musang selepas melaksanakan operasi terbabit. – KOSMO! ONLINE
habis














