fbpx
Nur Farrah ditemani ibunya sebelum menjalani pembedahan di Hospital Ampang, Selangor pada Jun 2020.

‘Jika tiada sel stem adik, saya sudah tiada’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – Tiada apa yang lebih bermakna buat seorang kakak, Nur Farrah Izzati Yusri, 26, yang menghidap pe­nyakit kan­ser darah apabila adik bongsunya sanggup mendermakan sel stem demi untuk menyelamatkan nyawa­nya.

Gadis yang berasal dari Batu Berendam, Me­laka itu disahkan menghidap kanser darah atau Adult Acute Lymphoblastic Leukemia (ALL) pada 9 Oktober 2019 ketika menuntut dalam bidang kejuruteraan awam di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai di sini.

“Ketika disahkan menghidap penyakit paling ditakuti ramai itu, jantung saya bagaikan terhenti seketika, dunia ini terasa gelap dan lidah kelu.

“Tarikh 9 Oktober 2019 akan sentiasa segar dalam ingatan saya sampai bila-bila,” katanya.

Cerita anak kedua daripada tiga beradik itu, sebulan sebelum disahkan menghidap leukemia, dia kerap mengalami demam sehingga berat badannya turun secara mendadak daripada 67 kilogram (kg) kepada 40kg dalam masa sebulan.

“Ketika itu saya berasa cepat penat, hendak naik tangga pun rasa mengah. Saya mendapatkan rawatan di Hospital Melaka sebelum dirujuk ke Hospital Ampang di Selangor dan disahkan menghidap ALL,” katanya kepada Kos­mo!.

Enggan menyerah kalah, Nur Farrah Izzati yang ketika itu berusia 20 tahun memberitahu, dia berjuang melawan kanser darah selama enam bulan sehingga terpaksa menangguhkan pengajiannya di peringkat ijazah di UTM kerana mahu menumpukan perhatian terhadap rawatan pe­nyakit tersebut.

Gadis itu bersyukur kerana adik bongsunya, Nur Idris Syah, 23, yang ketika itu berusia 17 tahun sanggup mendermakan sel stem untuk menyelamatkan nyawanya.

Dia bersyukur kerana darah adik lelakinya itu sepadan dan mereka menjalani pembedahan di Hospital Ampang pada Jun 2020.

“Adik (Nur Idris Syah) bersetuju untuk menjadi penderma sel stem walaupun dia tahu mengenai risiko dan juga kesan terhadap tubuhnya.

“Kalau saya tidak menerima sel stem daripada adik, mungkin saya sudah tiada (meninggal dunia) hari ini. Dia bukan hanya sekadar adik kandung, tetapi ‘pe­nyambung nyawa’ saya,” katanya sebak.

Sementara itu, Nur Idris Syah memberitahu, dia membuat keputusan sukar tersebut kerana mahu melihat kakak yang tersa­yang sihat kembali seperti sedia kala.

“Hanya satu (perkara) yang saya fikirkan, kalau darah saya boleh membantu kakak untuk hidup, itu sudah cukup.

“Yang lain saya serahkan pada Allah SWT.

“Alhamdulillah usaha pemindahan stem sel tersebut berjaya. Saya mahu lihat kakak gembira. Saya akan sentiasa menemani­nya dan mahu tengok kakak mendirikan rumah tangga,” katanya.

Selain Nur Idris Syah, Nur Farrah Izzati turut mendapat soko­ngan kuat daripada ibunya, Idah Abu Bakar, 51, yang setia berada di sisi sepanjang tempoh sukar tersebut.

Keperitan dan kesakitan yang dialami Nur Farrah Izzati bertukar manis apabila gadis tersebut berjaya menamatkan pengajian­nya dan menjejakkan kaki di pentas konvokesyen UTM pada 17 November lalu.

Pada hari bersejarah ber­kenaan, Nur Farrah Izzati berjaya menggenggam Ijazah Sarjana Muda Kejurute­raan Awam.

Lebih manis, gadis tersebut bukan hanya me­nerima segulung ijazah, tetapi memiliki seorang adik yang sanggup menyerahkan sebahagian dirinya demi menyelamatkan nyawa kakak tersayang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN