MOSCOW – Seorang jeneral kanan Russia terbunuh di selatan Moscow hari ini selepas peranti letupan yang diletakkan di bawah keretanya meletup, kata pasukan penyiasat dalam satu kenyataan.
Jawatankuasa Penyiasatan Russia yang menyiasat jenayah berat berkata, pihaknya telah membuka siasatan berhubung pembunuhan Leftenan Jeneral Fanil Sarvarov yang merupakan ketua jabatan latihan dalam Staf Jeneral.
Kemungkinan serangan dikaitkan dengan pasukan khas Ukraine juga akan disiasat, katanya.
Sejak Moscow menceroboh Ukraine pada Februari 2022, Kyiv dipersalahkan atas beberapa serangan menyasarkan pegawai tentera dan personaliti pro-Kremlin di Russia dan di wilayah Ukraine yang dikuasai Russia.
Timbalan Staf Jeneral, Jeneral Yaroslav Moskalik terbunuh dalam letupan kereta dekat Moscow April lalu.
Pada Disember 2024, Igor Kirillov yang merupakan ketua pasukan pertahanan radiologi, kimia dan biologi Russia maut apabila sebuah skuter elektrik dipasang bom meletup di Moscow dalam serangan yang didakwa dilakukan oleh perkhidmatan keselamatan Ukraine, SBU.
Penulis blog tentera Russia, Maxim Fomin terbunuh apabila sebuah patung kecil meletup di sebuah kafe di Saint Petersburg pada April 2023.
Pada Ogos 2022 pula, bom kereta membunuh Daria Dugina iaitu anak perempuan ultranasionalis Moscow, Alexander Dugin. – AFP














